Jambatan kedua jimatkan masa perjalanan Brunei-Limbang

Jambatan kedua jimatkan masa perjalanan Brunei-Limbang

LIMBANG, 20 Okt – Pembinaan Jambatan Kedua menyeberangi Sungai Limbang dijangka mampu memacu pembangunan lebih pesat di kawasan utara negeri ini selain memendekkan jarak perhubungan dengan negara jiran Brunei.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem optimis dengan adanya jambatan itu nanti perjalanan lebih 50,000 penduduk Limbang ke Brunei akan dapat dipendekkan daripada lebih 50 kilometer (km)  melalui Batu Danau dengan hanya 15 hingga 20km ke Brunei.

“Dengan adanya jambatan ini perhubungan dengan Brunei akan lebih lancar selain memendekkan jarak perjalanan dengan hanya kurang 20 kilometer,” katanya pada Pelancaran  Jambatan Kedua Sungai Limbang di kawasan Pabahanan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar  Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan Residen Limbang Datu Maria Hasman.

Jambatan Kedua Limbang akan dibina di kawasan Pabahanan dengan jarak sejauh 830 meter bernilai RM150 juta yang dijangka akan bermula pembinaannya hujung tahun ini.

Adenan bersama pemimpin dan penduduk Limbang semasa Majlis Pelancaran  Jambatan Kedua Sungai Limbang di kawasan Pabahanan, kelmarin.
Adenan bersama pemimpin dan penduduk Limbang semasa Majlis Pelancaran Jambatan Kedua Sungai Limbang di kawasan Pabahanan, kelmarin.

Jambatan yang menjadi mercu tanda bagi pembangunan Limbang juga akan menghubungkan kampung-kampung Melayu di Sungai Limbang yang sebelum ini hanya bergantung kepada perkhidmatan feri atau perahu ke Bandar Limbang dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.

Adenan berkata, selain memendekkan jarak perhubungan, kemudahan itu juga akan meringankan beban masyarakat di sini yang tidak perlu menggunakan jalan jauh serta menjimatkan.

Beliau turut memuji sokongan penduduk di bahagian ini yang hadir menyaksikan acara pelancaran jambatan itu.

“Ramai masyarakat di Limbang yang turut serta menyaksikan majlis ini dan ini merupakan hari bersejarah apabila menyaksikan begitu ramai penduduk datang menyaksikan majlis ini,” katanya merujuk kepada kira-kira 5,000 penduduk yang hadir hari ini.- Arissa