Jambatan runtuh di Bali

Jambatan runtuh di Bali

DENPASAR, Indonesia, 17 Okt – Sebuah jambatan menghubungkan dua pulau kecil di Bali runtuh semalam, mengorbankan lapan orang, termasuk tiga kanak-kanak serta mencederakan 30 yang lain, menurut pegawai.

Jambatan gantung yang menghubungkan dua pulau pelancongan popular, Nusa Limbongan dan Nusa Ceningan di Bali runtuh pada jam 6.30 petang waktu tempatan, semalam, kata Agensi bencana.

Jambatan sempit itu hanya boleh dilintasi menggunakan motosikal dan pejalan kaki dan ketika insiden, ia amat sibuk kerana ramai menyertai satu upacara keagamaan di sebuah kuil berhampiran.

“Jambatan ini bergegar sebelum runtuh,” kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

“Ada penunggang motosikal dan orang yang terjatuh ke dalam laut. Orang ramai turut cuba menyelamatkan mereka.”

Jambatan yang menghubungkan dua pulau kecil di Bali runtuh kelmarin, mengakibatkan motosikal terjatuh ke dalam air dan mengorbankan lapan orang dan 30 lagi cedera. – AFP
Jambatan yang menghubungkan dua pulau kecil di Bali runtuh kelmarin, mengakibatkan motosikal terjatuh ke dalam air dan mengorbankan lapan orang dan 30 lagi cedera. – AFP

Pihak berkuasa mengesyaki jambatan itu runtuh kerana terlalu ramai orang menggunakannya pada ketika itu. Beberapa gambar menunjukkan jambatan gantung itu tenggelam dalam kawasan perairan cetek antara kedua-dua pulau terbabit.

Nugroho berkata lapan warga Indonesia meninggal dunia dan 30 orang cedera, termasuk dua yang cedera parah. Mereka yang cedera telah dibawa ke pusat-pusat kesihatan.

Mangsa kesemuanya daripada penduduk tempatan dan tidak ada warga asing yang terlibat, katanya.

Penduduk tempatan tidak melaporkan adanya orang lain hilang tetapi pasukan mencari dan penyelamat akan terus memeriksa kawasan itu pada awal hari ini, katanya. – AFP