Jambatan sementara kini dibuka

Jambatan sementara kini dibuka

KUNDASANG, 11 Ogos – Jambatan ‘Bailey’ sementara menghubungkan Kampung Mesilou dengan Pekan Kundasang yang siap dibina pada 31 Julai lepas, kini dibuka secara rasmi untuk kegunaan penduduk setempat.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata jambatan sementara dengan kos pembinaan kira-kira RM1.5 juta itu dibina bagi menggantikan jambatan lama yang sebelum ini dihanyutkan banjir lumpur pada Jun lepas.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata jambatan sementara di Kilometer 3.1 dekat Lapangan Golf Mesilou itu siap lebih awal daripada jadual asal.

“Jambatan sementara ini diharap dapat memudahkan perhubungan dan pergerakan keluar masuk penduduk kampung dalam menjalankan aktiviti ekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan itu di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah Ir Amrullah Kamal.

Beberapa kenderaan kini sudah mula menggunakan jambatan sementara di Mesilau, Sabah. – Bernama
Beberapa kenderaan kini sudah mula menggunakan jambatan sementara di Mesilau, Sabah. – Bernama

Pairin berkata dua lagi jambatan yang turut mengalami kerosakan akan dibina membabitkan kerjasama menerusi Strategi Lautan Biru antara Kementerian Kerja Raya dan Angkatan Tentera Malaysia.

Mengenai pembinaan jambatan kekal di kampung itu, Pairin berkata cadangan tersebut akan dimuatkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11, dan berharap ia dapat dibina dalam tempoh dua tahun, dengan reka bentuk yang mengambil kira risiko bencana.

“Jambatan kekal akan dibina tetapi mengambil masa. Justeru, kita berharap jambatan sementara ini akan tahan dan dapat digunakan sehingga jambatan kekal siap dibina,” katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata jambatan sementara itu memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk sekitar, termasuk di Kampung Mesilou, Mantaki dan Cinta Mata.

Beliau berkata jambatan sementara itu amat penting dalam membantu penduduk kampung mengeluarkan hasil pertanian dengan lebih cepat dan mudah.

“Saya berharap kos penghantaran bekalan sayur-sayuran juga akan dikurangkan dan kembali kepada harga normal seperti sebelumnya,” kata beliau. – Bernama