Jambatan Sungai Kebun 65% siap

Jambatan Sungai Kebun 65% siap

Oleh Syahmi Hassan & Siti Nur Wasimah S

Gambar oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Dis – Perkembangan projek pembinaan jambatan dari Sungai Kebun ke Jalan Residency kini telah mencapai lebih kurang 65 peratus dan akan dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun depan.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, semasa membuat lawatan ke tapak projek berkenaan pagi tadi, melahirkan perasaan puas hati dan gembira dengan projek berkenaan kerana ia mempunyai reka bentuk Cable Stayed Bridge dan merupakan jenis jambatan yang julung-julung kali dibina di Brunei.

Semasa ditemui pihak media, Yang Berhormat Pehin juga menyatakan bahawa setelah selesainya jambatan ini, penduduk di Kampong Ayer akan dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk meletakkan kereta mereka di bahagian barat jambatan.

Sebelum melawat tapak projek, Yang Berhormat Pehin turut mendengarkan taklimat mengenai projek berkenaan yang telah disampaikan oleh Pemangku Jurutera Kerja Kanan Bahagian Pembinaan Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya, Haji Mazlan bin Haji Abdul Salim.

Projek ini telah bermula sejak bulan Julai 2013 yang lalu di bawah Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-10 dan dilaksanakan oleh usaha sama pemborong Daelim Industrial Co. Ltd dan Swee Sdn Bhd, dan dikendalikan oleh Jabatan Jalan Raya, Jabatan Kerja Raya dan Kementerian Pembangunan.

Yang Berhormat Pehin, para pegawai Kementerian Pembangunan, para pegawai Swee Sdn Bhd dan kakitangan Daelim memeriksa kawasan pembinaan Jambatan Sungai Kebun.
Yang Berhormat Pehin, para pegawai Kementerian Pembangunan, para pegawai Swee Sdn Bhd dan kakitangan Daelim memeriksa kawasan pembinaan Jambatan Sungai Kebun.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika bercakap kepada wakil media.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri ketika bercakap kepada wakil media.
Jambatan Sungai Kebun akan mengurangkan masa perjalanan para penduduk dari Mukim Lumapas ke Bandar Seri Begawan dan sebaliknya.
Jambatan Sungai Kebun akan mengurangkan masa perjalanan para penduduk dari Mukim Lumapas ke Bandar Seri Begawan dan sebaliknya.

Pembinaan jambatan tersebut melibatkan kerja-kerja utama termasuk pembinaan sebuah pilon setinggi 157 meter, enam jeti (Pier), satu terowong sepanjang 50 meter, dinding penahan hakisan dan galang kotak sepanjang 622 meter menyeberangi Sungai Brunei yang dilengkapi dengan cables stayed.

Jambatan berukuran setinggi 157 meter dengan pembinaan sebuah pilon untuk menanai sepanjang 505 meter galang kotak (box girder) melalui 60 kabel dan menyeberangi Sungai Brunei selebar 30 meter itu dijangka akan digunakan kira-kira 9,000 kenderaan setiap hari.

Pembinaan jambatan yang menelan belanja sebanyak $138.9 juta itu akan dapat memudahkan dan memendekkan waktu perjalanan penduduk yang tinggal di kawasan Sungai Kebun ke Bandar Seri Begawan, di samping mengurangkan jumlah kenderaan yang akan melalui kawasan-kawasan seperti Lumapas, Mulaut dan Bengkurong Masin khususnya pada waktu pagi dan petang.

Sementara itu, kawasan letak kereta di kawasan berhampiran Sungai Kebun pula akan digunakan untuk tempat letak kereta para pelancong, kerana dengan adanya kawasan letak kereta yang mencukupi, ia juga dapat meningkatkan lagi jumlah pelancong untuk berkunjung ke Bandar Seri Begawan.

Jambatan tersebut juga akan dilengkapi dengan ruang galeri, bilik kawalan dan ruang legar apabila ia siap sepenuhnya nanti.

Pembinaan jambatan itu dihasratkan dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Tutong, Bengkurong Masin dan sekitarnya serta akan menjadi laluan alternatif kepada penduduk Mukim Lumapas dan sekitarnya untuk menghala ke pusat bandar, di samping membuka peluang untuk pertumbuhan sosioekonomi di Mukim Lumapas dan kawasan-kawasan yang berdekatan.

ARTIKEL YANG SAMA