Jamin hasil dan produk terbaik

Jamin hasil dan produk terbaik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Pengurusan dan amalan ladang yang baik bukan sahaja mampu untuk meningkatkan hasil tanaman atau ladang tetapi ia juga boleh menjamin produk yang terbaik bagi para pengguna dan memastikan keadaan sekitar ladang bersih, teratur dan selamat.

Amalan pengurusan ladang yang baik itu amat penting kerana ia boleh mencegah berlakunya penyakit tanaman yang boleh merebak ke tanaman-tanaman lain di ladang berkenaan.

Oleh itu, pengurusan tanaman atau ladang secara menyeluruh merupakan kaedah terbaik bagi memastikan bahawa tiada pembaziran dari segi penggunaan tanah dan juga boleh menghindar daripada pencemaran alam sekitar, menjaga keselamatan para pengguna serta memastikan tiada jangkitan berlaku kepada tanaman lain.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong dalam temu bual bersama Media Permata selepas Majlis Penyampaian Sijil Bengkel Memudahkan Pembangunan Agriperniagaan di Brunei Darussalam yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, hari ini.

Mengulas mengenai bengkel itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali amat mengalu-alukan dan menghargai inisiatif serta kerjasama Suruhanjaya Tinggi Australia, Majlis Australia-ASEAN dan University of Western Australia (UWA) atas inisiatif mengadakan bengkel serta berkongsi pengalaman, kepakaran dan amalan pertanian terbaik dengan pegawai-pegawai Jabatan Pertanian dan Agrimakanan serta usahawan sektor pertanian untuk membantu dalam meningkatkan lagi sektor pertanian negara.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Todd Mercer bergambar-ramai dengan para peserta bengkel.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali dan Todd Mercer bergambar-ramai dengan para peserta bengkel.

Beliau berharap para peserta bengkel berkenaan dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan menerusi penyertaan mereka dalam bengkel selama tiga hari itu serta menggunakan segala yang dipelajari untuk meningkatkan lagi mutu pengurusan atau amalan ladang mereka.

Sementara itu, Ketua Pakar Kumpulan dari UWA, Profesor Dr Peter Batt berkata bahawa sektor pertanian Negara Brunei Darussalam mempunyai potensi yang tinggi untuk diperluaskan dan penyertaan para pegawai dan usahawan sektor pertanian dalam bengkel tiga hari itu merupakan satu langkah yang baik bagi mereka mengembangkan lagi keupayaan, kepakaran serta amalan pengurusan ladang yang baik.

Terdahulu daripada itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia, Todd Mercer dalam ucapannya mengalu-alukan usaha berterusan dan kecenderungan Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan lagi sumbangan sektor pertanian kepada pendapatan negara serta terbuka untuk meneroka peluang dan hala tuju masa depan sektor pertanian negara.

Beliau juga menyatakan bahawa pelaksanaan Bengkel Memudahkan Pembangunan Agriperniagaan di Brunei Darussalam bukan sahaja amat bertepatan malahan juga menandakan permulaan kegiatan Majlis Australia-ASEAN di Negara Brunei Darussalam.

Bengkel yang telah bermula 18 April dan berakhir hari ini itu disertai oleh seramai 52 orang peserta terdiri daripada pegawai-pegawai dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Jabatan Perhutanan, Universiti Brunei Darussalam dan wakil-wakil sektor swasta yang terlibat dalam bidang pertanian dan agriperniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA