Jaminan masa hadapan

Jaminan masa hadapan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Perancangan kewangan memang tidak diragui adalah amat penting dan usaha terus dipertingkatkan untuk menyokong pendidikan serta memperbaiki lagi tahap kesedaran dan literasi kewangan dalam kalangan orang ramai di Negara Brunei Darussalam.

Perancangan kewangan yang baik bukan sahaja boleh memastikan bahawa ahli keluarga akan dapat dilindungi, masa depan anak-anak dapat dijamin tetapi juga boleh memastikan kesejahteraan semasa di usia persaraan nanti.

Peranan penting perancangan kewangan itu ditekankan oleh Pemangku Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Nurliati binti Haji Mohd Idris ketika berucap di Hari Perancangan Kewangan 2016 bersempena Hari Menabung Kebangsaan 2016 yang berlangsung di Dewan Indera Kayangan, Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hajah Nurliati berkata, pada masa ini, keperluan untuk memastikan kejayaan pengurusan kewangan terus meningkat dan kajian yang dijalankan oleh Penn Schoen Berland bagi pihak Lembaga CFP, Amerika Syarikat (AS) pada 2015 mengenai persepsi masyarakat AS terhadap ekonomi negara itu dan penasihat-penasihatnya menunjukkan beberapa dapatan yang menarik.

Antara dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa para pengguna yang menggunakan khidmat penasihat kewangan telah meningkat secara signifikan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, iaitu daripada 28 peratus pada 2010 kepada 40 peratus pada 2015.

Hajah Nurliati bersama para tetamu hadir pada majlis berkenaan.
Hajah Nurliati bersama para tetamu hadir pada majlis berkenaan.

Di samping itu, 41 peratus responden dalam kajian berkenaan merasakan bahawa peranan penasihat kewangan menjadi lebih penting sejak lima tahun kebelakangan ini dan telah menggunakan khidmat mereka itu untuk mendapatkan panduan kewangan yang lebih baik terutama bagi mencapai matlamat jangka panjang mereka seperti bagi persaraan.

Hajah Nurliati turut mengongsi kajian oleh Institut CFA pada 2013 yang bertajuk ‘The CFA Institute & Edelman Investor Trust Survey’, yang menunjukkan bahawa lebih daripada nisbah 2:1, responden menyatakan perkara yang paling penting dalam pemilihan penasihat atau rakan pelaburan ialah penasihat itu merupakan seorang yang boleh dipercayai dan melakukan tugasnya bagi kepentingan para responden.

Beliau berkata, kajian itu menunjukkan bahawa kepercayaan itu adalah amat penting dalam industri kewangan dan para klien meletakkan kepercayaan serta sikap beretika sebagai amat penting.

Dalam hubungan itu, para peserta industri diseru untuk bekerja keras membina kepercayaan berkenan untuk mengekalkan klien mereka dan mendapatkan kepercayaan mereka.

Hajah Nurliati semasa menyampaikan ucapannya.
Hajah Nurliati semasa menyampaikan ucapannya.
Joseph Kwok menerangkan pentingnya bagi seorang perancangan kewangan untuk melaksanakan tugas mereka secara beretika dan jujur.
Joseph Kwok menerangkan pentingnya bagi seorang perancangan kewangan untuk melaksanakan tugas mereka secara beretika dan jujur.

Dengan adanya Pusat Kewangan dan Pengurusan Perbankan Islam (CIBFM), sebagai Pusat Kecemerlangan bagi industri kewangan dan Pusat Peperiksaan Pelesenan yang dilantik oleh AMBD dan Persatuan Perancangan Kewangan Brunei Darussalam (FPAB) sebagai platform untuk mengangkat kerjaya, perancangan kewangan, Hajah Nurliati percaya bahawa industri perancangan kewangan negara akan maju ke hadapan ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau turut menyatakan harapan supaya CIBFM dan FPAB akan mengeratkan lagi hubungan kerjasama mereka ke hadapan dengan mengadakan pelbagai program dan kegiatan-kegiatan yang bersesuaian.

Majlis yang membawa tema ‘Etika dan Kepercayaan’, dikendalikan oleh CIBFM dengan kerjasama FPAB dan disokong oleh AMBD, itu dihasratkan untuk memberikan penerangan mengenai bidang perancangan kewangan secara berterusan bagi industri kewangan negara.

Pada majlis itu, dua orang penceramah undangan daripada Persatuan Perancangan Kewangan Singapura (FPAS) iaitu Joseph Kwok dan William Cai, mengongsi pengalaman mereka dalam membina kepercayaan dan kredibiliti sebagai perancang kewangan serta juga untuk melaksanakan tugas secara beretika dan mementingkan keperluan serta kesejahteraan klien mereka.

ARTIKEL YANG SAMA