Jamuan malam Gawai Dayak di Kuching pada 3 Jun

Jamuan malam Gawai Dayak di Kuching pada 3 Jun

KUCHING, 27 Mei (Bernama) – Lebih 3,000 anggota komuniti Dayak akan menghadiri majlis jamuan malam Gawai Dayak peringkat negeri di sini pada 3 Jun ini.

Majlis tahun ini dianjurkan komuniti Dayak Bidayuh menerusi Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), kata pengerusi penganjur, Datuk Seri Michael Manyin.

Beliau berkata komuniti Iban menerusi Yayasan Kebudayaan Dayak dan komuniti Orang Ulu menerusi Persekutuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (Forum) adalah penganjur bersama program itu.

“Majlis akan diadakan di ibu pejabat DBNA di Jalan Ong Tiang Swee di sini bermula 8.15 malam.

“Kami mengalu-alukan kedatangan kaum lain memandangkan sudah menjadi tradisi sejak sekian lama di Sarawak bagi semua kaum sama-sama menyambut perayaan tanpa mengira kaum atau agama,” kata Manyin, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak, pada sidang media di sini hari ini.