Jana 300 megawatt daripada sisa kelapa sawit

Jana 300 megawatt daripada sisa kelapa sawit

MUKAH, 19 Nov (Bernama) – Sarawak berpotensi untuk menjana 300 megawatt elektrik dari sisa kelapa sawit, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 14 lesen pengeluaran tenaga termasuk untuk kegunaan sendiri telah diluluskan kepada syarikat-syarikat elektrik yang menggunakan biojisim.

“Selepas siap, mereka akan mempunyai kapasiti untuk menghasilkan tenaga sebanyak 135 megawatt. Berdasarkan statistik sisa kelapa sawit, terdapat potensi untuk menghasilkan elektrik sebanyak 300 megawatt,” katanya.

Adenan berkata demikian semasa melancarkan Loji Janakuasa Biojisim Mukah, kilang tenaga boleh diperbaharui yang pertama di Sarawak hari ini.

Sarawak pada tahun lepas telah menghasilkan kira-kira 3.5 juta tan minyak sawit mentah dan memproses kira-kira 17 juta tan metrik tandan buah segar, di mana 40 peratus atau kira-kira tujuh juta tan, telah bertukar menjadi sisa sawit biojisim.

Bagaimanapun, Adenan berkata, kurang daripada lima peratus daripada bahan buangan yang dihasilkan telah dikitar semula oleh pelbagai kilang di negeri ini.

Beliau berkata kelebihan mempunyai loji kuasa biojisim tidak terhad kepada penjanaan tenaga hijau tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk graduan dan pekerja mahir.

Loji Kuasa Biojisim Mukah yang bernilai RM120 juta akan dibangunkan oleh Olive Energy Sdn Bhd di mana pembinaan akan bermula pada awal tahun depan. Ia dijangka akan beroperasi pada September 2017 dan akan dapat menjana elektrik sebanyak 12.1 megawatt.

Pengarah Olive Energy, James Lau, berkata sebanyak 10 megawatt elektrik yang dihasilkan akan dijual kepada Sarawak Energy Bhd pada 21 sen bagi setiap kilowatt manakala selebihnya adalah untuk kegunaan sendiri.

ARTIKEL YANG SAMA