Jana mekanisme kerjasama

Jana mekanisme kerjasama

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Nov – Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China yang berakhir hari ini, berjaya mengukuhkan hubungan di antara kerajaan negara-negara ASEAN dan China serta menggalakkan lagi pertukaran di antara rakyat kedua-dua belah pihak.

Di samping itu, persidangan dua hari itu juga menjana mekanisme kerjasama dan persahabatan yang amat berguna di antara penduduk ASEAN dan China yang bukan sahaja mendalami lagi persahabatan dua hala tetapi juga mendekati lagi kehidupan penduduk kedua-dua wilayah.

Ini dinyatakan oleh Presiden Persatuan ASEAN-China, Gu Xiulian, ketika berucap di Penutup Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-10 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan upacara penutup persidangan berkenaan ialah Pengerusi Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Gu Xiulian dalam ucapannya lagi berkata persidangan itu terus dipertingkatkan dari segi standard, saiz dan juga kandungannya yang mana ia kini menjadi platform yang terbukti untuk melaksanakan dialog, konsultasi dan kerjasama serta pada masa yang sama, mengumpulkan idea-idea yang bernas daripada pelbagai golongan masyarakat dan pelbagai visi dari negara-negara ASEAN dan China.

Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menerima cenderahati daripada Ang Swee Chuan.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menerima cenderahati daripada Ang Swee Chuan.
Ang Swee Chuan (kanan) menyerahkan bendera persidangan kepada Ek Sam Ol.
Ang Swee Chuan (kanan) menyerahkan bendera persidangan kepada Ek Sam Ol.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama para peserta dan ahli jawatankuasa persidangan selepas sesi senaman pagi.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai bersama para peserta dan ahli jawatankuasa persidangan selepas sesi senaman pagi.

Beliau turut menyatakan harapan bahawa mekanisme kerjasama dan persahabatan di antara rakyat ASEAN dan China akan terus diperkukuhkan serta dipertingkatkan supaya dapat menggandakan lagi usaha bagi mencapai kemakmuran dan persahabatan yang berkekalan sehingga ke generasi-generasi akan datang.

Di majlis itu, Presiden Persatuan Persahabatan Brunei-China, Ang Swee Chuan telah menyampaikan cenderahati kepada Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman.

Majlis turut menyaksikan penyerahan bendera persidangan daripada Ang Swee Chuan iaitu hos bagi persidangan pada 2015 kepada wakil dari Kemboja iaitu Presiden Persatuan Persahabatan Kemboja-China, Ek Sam Ol iaitu hos bagi Persidangan Persahabatan Rakyat ASEAN-China ke-11 pada 2017 nanti.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur persidangan, Dr. Firdaus bin Abdul Rahman menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan persidangan selama dua hari itu.

Beliau berkata bahawa persidangan selama dua hari itu berjaya mencapai matlamatnya sebagai platform bagi bukan sahaja mengukuhkan kerjasama dan persahabatan dalam kalangan rakyat ASEAN dan China tetapi ia juga menjadi pelantar bagi meneruskan usaha ke arah meningkatkan perpaduan, kerjasama, pembangunan dan pengukuhan persahabatan di antara ASEAN dan China.

ARTIKEL YANG SAMA