Jana pendapatan menu sarapan RM1

Jana pendapatan menu sarapan RM1

SANDAKAN, 1 Mac (Bernama) – Atas keinginan membantu mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan sarapan dengan harga murah, Jaafar Pame dan rakannya Muhammad Abdullah menjual sandwic ayam dan sayur berserta kopi dan teh dengan harga RM1.

Lokasi perniagaan mereka di tepi jalan berhampiran Taman Fajar di Jalan Airport, laluan utama yang dilalui banyak kenderaan pada setiap pagi.

Mereka turut menjual penkek, sup cendawan dan minuman panas yang lain dan dijual berasingan dengan harga RM1 setiap satu. Biarpun dijual dengan harga murah, mereka mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan berikutan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Jaafar, 28, berkata mereka memulakan perniagaan pada Oktober tahun lepas dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan sehinggakan ada yang menjadi pelanggan tetap.

“Pada awal perniagaan, kami menggunakan modal RM100 dan setiap hari menyediakan 100 set menu sarapan dengan pulangan pendapatan sebulan dalam lingkungan RM1,000,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Pendekatan mereka mudah iaitu menggunakan poster dan kain rentang yang memaparkan menu sarapan berharga RM1 bagi menarik perhatian pengguna jalan raya untuk singgah.