Jangan ada ta...

Jangan ada tarikh akhir

SATU berita yang menarik dan memancing kesyukuran apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi mewujudkan dan menubuhkan Dana Bantuan Mangsa Kebakaran Kampung Pandai Besi A dan Kampung Lurong Dalam tempoh hari.

Sekurang-kurangnya mangsa-mangsa akan dapat memanfaatkan bantuan yang akan diberi bagi sekurang-kurangnya meneruskan kehidupan mereka, menjaga kebajikan mereka dan meneruskan persekolahan anak-anak mereka.

Memang dari dulu kita ada Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim untuk mengelinga hal ehwal kebajikan anak-anak yatim yang mendiami Negara Brunei Darussalam.

Begitu juga langkah mulia atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah untuk menubuhkan Dana Pembinaan Masjid, khusus untuk menyemarakkan lagi syiar Islam di seluruh negara khasnya dan dirantau sebelah sini amnya.

Namun setiap dana yang dilancarkan anehnya mempunyai tarikh akhir atau tarikh tutup. Sedangkan untuk memperoleh pahala dan berbuat kebajikan sememangnya satu langkah yang berterusan tanpa henti-henti.

Jadinya sebaiknya kedua-dua dana ini diteruskan dan di setiap enam bulan dikira kutipannya dan diumumkan ke khalayak ramai. Barulah kita merasa yang sumbangan kita itu diiktiraf, dihargai dan dimanfaatkan setentunya. Renungkanlah. – Pemerhati Prihatin, Bunut

ARTIKEL YANG SAMA