Jangan ada yang pincang

Jangan ada yang pincang

Oleh Salawati Haji Yahya & Sim Y.H.

Gambar oleh Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Jika masih kedengaran sungutan orang ramai yang masih tidak menerima kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bermakna terdapat kepincangan dalam pengagihan kurma-kurma kurnia peribadi tersebut.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik (gambar) selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), menegaskan perkara ini ketika berkenan menyampaikan sabda pada Majlis Pelancaran Pengagihan Buah Kurma Kurnia Peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Dewan Bankuet, Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Dalam sabdanya itu, Yang Teramat Mulia menjelaskan bahawa dalam memastikan proses pengagihan kurma ini benar-benar menepati maksudnya, Yayasan berusaha melaksanakan beberapa inisiatif yang antara lain menyediakan borang serah terima yang perlu ditandatangani oleh kedua-dua pihak iaitu pihak yang menyerahkan dan yang menerima.

Yang Teramat Mulia berharap kaedah ini akan dapat dibuat dengan lebih sempurna, teratur dan bersistematik di mana usaha ini tidak akan berhasil, jika tidak ada sokongan dan kerjasama padu daripada penghulu mukim dan ketua kampung.

“Walau bagaimana pun, telah sampai ke pengetahuan saya, ada sebahagian pemimpin akar umbi yang kurang memberikan kerjasama yang diharapkan.”

pg01_160512_b

Perkara ini, tegas Yang Teramat Mulia, tidak sepatutnya timbul lebih-lebih lagi tugas yang dipikul ini merupakan satu amanah yang perlu ditanai dengan sempurna dalam memastikan hajat Baginda Sultan untuk melihat buah kurma kurnia peribadi menjadi sajian berbuka puasa di negara ini.

Yang Teramat Mulia seterusnya menyeru mereka yang berkenaan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab sebaiknya dengan ikhlas dan amanah semata-mata bagi meraih ganjaran Allah Subahanahu Wata’ala juga.

Bulan Ramadan merupakan satu peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri selain menambahkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan untuk mendapat keampunan daripada segala dosa yang telah dilakukan.

Sabda Yang Teramat Mulia lagi, kita sering diperingatkan untuk sentiasa bertakwa dengan sebenarnya kepada Allah kerana ia adalah merupakan satu kewajipan selaku hambaNya.

“Secara ringkas, orang yang bertakwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah,” tambah Yang Teramat Mulia.

ARTIKEL YANG SAMA