Jangan ambil kesempatan terhadap pengadil

Jangan ambil kesempatan terhadap pengadil

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Jika terdapat sebarang kelemahan dalam kalangan pengadil, maka tidak semestinya pemain dan juga pegawai kelab sesuka hati untuk mengambil kesempatan melakukan atau menunjukkan kegarangan mereka terhadap pengadil dan melakukan perkara yang tidak baik yang hanya akan merugikan pemain dan kelab itu sendiri.

Itulah antara peringatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohd Yusof bin Abu Bakar dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Rasmi Kursus Pengadil MA (Member Association – Anggota FIFA) 2015.

Dalam ucapannya pada majlis di NFABD House berkenaan, beliau menekankan bahawa NFABD masih memandang berat betapa mustahaknya bagi semua pengadil di Negara ini mempunyai kebolehan dan kecekapan dari segi mental dan fizikal yang tinggi lagi dihormati oleh semua pemain apabila pengadil turun ke padang bola sepak.

“Pengadilan yang baik dan cekap akan dapat menolong mempertingkatkan mutu permainan bola sepak dan juga menjaga keselamatan pemain-pemain. Kita tidak mahu melihat perkara yang tidak baik berlaku di padang disebabkan kelalaian ataupun kelemahan pengadil membuat keputusan yang tepat dan tegas.”

Beliau yang turut berkesudian untuk menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus dan cenderahati kepada fasilitator kursus di akhir majlis telah juga memberikan penekanan mengenai ketepatan masa kedatangan pengadil untuk menjalankan tugas bagi sebarang perlawanan bola sepak.

Salah seorang peserta kursus ketika menerima sijilnya daripada Yang Dimuliakan Pehin Haji Mohd Yusof.
Salah seorang peserta kursus ketika menerima sijilnya daripada Yang Dimuliakan Pehin Haji Mohd Yusof.

“Jika terjadi kedatangan lewat dari waktu yang sepatutnya bagi menjalankan tugas sebagai pengadil perlawanan, maka saya percaya ini akan boleh menimbulkan kemarahan dalam kalangan pemain dan juga penonton.”

Sehubungan dengan itu, beliau berharap para pengadil untuk mengamalkan tabiat yang baik iaitu datang lebih awal untuk menjalankan tugas dan berlaku tepat serta tegas ketika membuat pengadilan perlawanan supaya sama-sama dapat mempertingkatkan permainan bola sepak di negara ini.

Majlis yang turut dihadiri Setiausaha Agung NFABD, Haji Muhd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani itu telah turut mendengarkan ucapan wakil peserta, Haji Rozyman Aidit bin Haji Ibrahim dan ucapan dari Instruktor Kecergasan Pengadil FIFA, Ravichandran Chappanimutu.

Haji Rozyman antara lain turut mengongsikan pengajaran penting yang mereka perolehi semasa sesi amali di padang iaitu untuk menghentikan permainan jika ternampak kilat dalam jarak 5 kilometer ke bawah yang disusuli dengan dentuman guruh 25-30 saat kemudian kerana itu petanda cuaca kurang mengizinkan akan berlaku tidak lama lagi.

Ravichandran pula menegaskan bahawa kursus itu tidak akan memberi makna jika tiada kemajuan dan peningkatan dari sudut mutu pengadilan peserta selepas ini sambil memberi nasihat kepada para pengadil untuk terus mendalami dan menghayati Undang-undang Permainan sambil berterusan mempertingkat tahap kecergasan mereka masing-masing.

Oleh itu, beliau berharap NFABD menerusi Jabatan Pengadil akan terus giat mengadakan kursus-kursus pengadil terutama sekali untuk mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan dan memberikan khidmat pengadilan untuk jangka masa yang lebih panjang.

Beliau menutup ucapannya dengan mengatakan bahawa persembahan pengadil sangat penting dalam membantu membangunkan bola sepak di Negara Brunei Darussalam.

Kursus telah disertai seramai 25 orang pengadil tempatan termasuk 9 orang yang bertaraf FIFA dan telah dimudahcara oleh Pegawai Perkembangan Pengadil FIFA dari Malaysia, Md Rodzali bin Yaacob dan Ravicahndran.