Jangan ambil ringan masalah rasuah

Jangan ambil ringan masalah rasuah

Oleh Yusrin Junaidi

 

pg01_160310_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Segala gejala rasuah di Negara Brunei Darussalam masih boleh ditangani dengan baik dan belum menjadi satu masalah yang serius, sungguh pun demikian, perkara ini tidak harus dianggap ringan dan bersikap sambil lewa.

Dalam usaha secara berterusan bagi mencegah dan menghindar rasuah dengan perkembangan teknologi masa kini, pastinya perkembangan pesat dunia ke arah globalisasi perkhidmatan-perkhidmatan dan perdagangan turut memberikan cabaran baru kepada Biro Mencegah Rasuah (BMR), kerana terdapat perbagai kaedah rasuah terutama rasuah jarak jauh.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar semasa hari keempat Musim Permesyuaratan ke-12, Majlis Mesyuarat Negara, hari ini.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, sudah menjadi peranan BMR untuk menyiasat pelaku rasuah yang pada sama proaktif dalam mengikuti kaedah-kaedah terkini, yang dapat membantu mengatasi ancaman rasuah terutamanya bagi kegiatan rasuah melibatkan rentas sempadan (Cross Boarder atau Transnational) yang mana bukanlah satu cabaran baru.

Dalam menghadapi cabaran itu, BMR telah menjadi ahli kepada kesatuan agensi-agensi anti rasuah di rantau Asia Tenggara seawal tahun 2003, BMR juga mengambil langkah berterusan dengan mengeratkan hubungan dengan agensi-agensi anti rasuah di negara-negara jiran menerusi perkongsian maklumat dan bantuan siasatan yang berkaitan dengan pelakuan rasuah merentas sempadan.

Dengan adanya peruntukan undang-undang seperti Mutual Legal Assistant In Criminal Matters Order 2005 dan Criminal Asset Recovery Order 2012 akan membolehkan kerjasama penyiasatan yang dilakukan dengan bantuan negara-negara asing untuk menjejaki pesalah ataupun perolehan wang rasuah yang dibawa dan disembunyikan di luar negara.

BMR juga telah mengambil langkah untuk meningkatkan kemahiran dan kapasiti pegawai-pegawai penyiasat BMR dalam penyiasatan kes-kes rasuah rentas sempadan dengan menggunakan kaedah-kaedah terkini, seperti peralatan digital forensik untuk mendapatkan bukti daripada alat-alat komunikasi, peralatan-peralatan canggih untuk kegunaan operasi.

Selain itu juga, pendekatan siasatan kewangan seperti Money Trail dan Asset Tracing untuk mengesan wang pelakuan rasuah rentas sempadan bagi tujuan pendakwaan dan pengambilan wang pelaku rasuah kepada kerajaan melalui Criminal Asset Recovery Order 2012.

Di antara kes-kes rasuah yang telah berjaya disiasat oleh BMR yang menggunakan peruntukan yang disebutkan bagi mengatasi had kuasa rentas sempadan termasuk kes penipuan dan rasuah sebuah syarikat pembekal dengan Syarikat Minyak Shell BSP pada tahun 2014.

Ini melibatkan penyelewengan wang lebih $8 juta dan telah memberi rasuah kepada 32 orang pegawai dan kakitangan Syarikat Minyak Shell Brunei, melalui kerjasama rentas sempadan BMR dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara dan kerajaan Singapura telah berjaya mendapatkan kembali jenayah berkenaan berjumlah $1.49 juta.

ARTIKEL YANG SAMA