Jangan ambil ringan terhadap penyakit kulit

KULIT adalah organ terbesar manusia. Saiznya meliputi kira-kira 1.5 hingga dua meter persegi. Ia menjadi lapisan pelindung tubuh yang pertama untuk mencegah kehilangan air dan mengelakkan kecederaan pada organ dalaman. Pada masa sama, kulit juga penting untuk mengawal suhu badan.

Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan lapisan tisu subkutaneus yang kaya dengan lemak. Di epidermis, kandungan utamanya ialah lemak, memainkan peranan penting sebagai pelindung yang mengekalkan kelembapan kulit.

Sekiranya lapisan lemak (lipid) pada kulit menipis, kulit kita menjadi kering akibat penyejatan air yang lebih cepat berbanding kecekapannya untuk memerangkap air. Kulit yang kering akan hilang kelembutan, keanjalan dan kelembapan. Ini menjadi antara punca kulit kasar dan gatal serta kelihatan berkedut, berkilat dan mengelupas.

Dari sudut kesihatan dan kecantikan, kekurangan nutrien selalu dikaitkan sebagai sebab utama masalah kulit kering. Ini kerana pembentukan lapisan lipid di bawah kulit memerlukan nutrien asid lemak perlu. Begitupun, jangan mudah membuat kesimpulan sendiri.

Jika masalah kulit dihadapi tidak berkurangan selepas pengambilan diet seimbang, vitamin dan amalan gaya hidup yang sihat, ada baiknya jika merujuk terus kepada doktor. Boleh jadi masalah kulit yang dihadapi berisiko untuk menjejaskan kualiti hidup dalam jangka panjang.

Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan lapisan tisu subkutaneus yang kaya dengan lemak. Di epidermis, kandungan utamanya ialah lemak, memainkan peranan penting sebagai pelindung yang mengekalkan kelembapan kulit.
Kulit terdiri daripada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan lapisan tisu subkutaneus yang kaya dengan lemak. Di epidermis, kandungan utamanya ialah lemak, memainkan peranan penting sebagai pelindung yang mengekalkan kelembapan kulit.
Folikutis disebabkan serangan bakteria pada folikel rambut sehingga pustul (jerawat yang mengandungi nanah) terbentuk. Masalah ini biasanya berlaku pada lelaki terutama di bahagian kulit berjanggut atau folikel berjanggut. Gejalanya biasanya terhad kepada rasa gatal dan pedih.
Folikutis disebabkan serangan bakteria pada folikel rambut sehingga pustul (jerawat yang mengandungi nanah) terbentuk. Masalah ini biasanya berlaku pada lelaki terutama di bahagian kulit berjanggut atau folikel berjanggut. Gejalanya biasanya terhad kepada rasa gatal dan pedih.

Berikut beberapa jenis penyakit kulit yang sebahagiannya dianggap remeh kebanyakan orang.

1. Folikulitis

Folikutis disebabkan serangan bakteria pada folikel rambut sehingga pustul (jerawat yang mengandungi nanah) terbentuk. Masalah ini biasanya berlaku pada lelaki terutama di bahagian kulit berjanggut atau folikel berjanggut. Gejalanya biasanya terhad kepada rasa gatal dan pedih. Penghidap berasa pedih apabila rambut atau janggut dicabut.

Untuk merawat masalah ini, minyak merkuri berammonia disapu pada bahagian kulit yang dijangkiti. Ubat antibiotik juga boleh digunakan jika perlu. Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, folikulitis akan menjadi kronik dan berlanjutan.

2. Ekzema

Ekzema atau dermatitis atopik ialah penyakit yang disebabkan oleh sentuhan atau alergi. Ia terjadi pada orang yang mewarisi kulit sensitif atau terlalu peka terhadap keadaan seperti sejuk, panas dan lembap. Tekanan emosi, mandi berlebihan dan penggunaan sabun yang kuat juga boleh menggalakkan ekzema. Bagi ekzema yang serius, kulit menjadi kemerah-merahan dan membengkak.

Oleh kerana kulit terasa gatal, pesakit biasanya cenderung menggaru sehingga kulit bercalar. Perlu diketahui bahawa ekzema tidak boleh diubati. Rawatan hanya boleh membantu melegakan rasa ketidakselesaan pesakit bagi mencegah jangkitan sekunder.

3. Kudis buta

Sejenis penyakit kulit berjangkit yang disebabkan oleh tungau. Tungau betina menembusi permukaan bawah kulit dan bertelur di dalamnya. Tungau suka kepada bahagian kulit yang lembut seperti selaput antara jari tangan, permukaan sebelah dalam lengan atas, paha, kaki, ketiak, buah dada, punggung dan pusat.

Pesakit akan merasa sangat gatal dan kulit akan terluka akibat digaru. Patogen lain mungkin memasuki kulit melalui bahagian kulit yang terluka itu. Jika tidak dirawat, penyakit boleh berjangkit dan menjangkiti orang lain. Tungau berjangkit melalui sentuhan tubuh dengan orang yang menghidap kudis buta atau dari tempat tidur dan pakaian yang penuh tungau.

4. Jerawat

Terdapat banyak jenis jerawat seperti jerawat roscea dan jerawat vulgaris yang bukan sahaja membabitkan muka, malah turut menjejaskan bahagian leher, bahu, dada dan belakang badan. Pada peringkat remaja, kelenjar sebum kulit sangat aktif dalam menghasilkan sebum atau minyak akibat daripada ketidakseimbangan hormon.

Pembentukan jerawat bermula dari bukaan kelenjar sebum tersumbat. Keadaan ini menggalakkan bakteria merebak. Bakteria menyebabkan bukaan kelenjar terdedah kepada kotoran. Ini seterusnya menyebabkan bukaan kelenjar menjadi kotor lalu membengkak. Akhirnya, ia pecah dan mengeluarkan nanah. Keadaan ini dipanggil pustul.

Sekalipun jerawat tidak membawa risiko maut, namun ia boleh mempengaruhi kehidupan sosial seseorang. Ia boleh dielakkan dengan meningkatkan kebersihan diri. Kini terdapat ubat dalam pasaran yang boleh menyembuhkan jerawat, tetapi perlulah mengikut perskripsi dan arahan doktor.

Sentiasa mencuci kulit dengan air dan sabun. Minum banyak air dan makan makanan yang kaya dengan vitamin B dan C serta kurangkan pengambilan lemak.

5. Sopak

Dalam bahasa perubatannya disebut sebagai vitiligo. Ia sejenis penyakit kulit yang membuatkan kulit penghidapnya bertompok putih dan tidak mempunyai pigmen. Sopak dipercayai berpunca daripada masalah pigmentasi. Melanosit iaitu sel yang menghasilkan pigmen akan dirosakkan antibodi pesakit itu sendiri.

Tanda utama penyakit ini ialah timbulnya tompok putih pada kulit, termasuklah pada bahagian tubuh yang memiliki rambut atau bulu. Begitupun, penyakit ini tidak mendatangkan rasa sakit atau gatal mahupun berjangkit.

6. Epidermolysis Bullosa (EB)

Dikenali dengan penyakit kulit rapuh, EB merangkumi kumpulan penyakit kulit yang diwarisi. Bagi seseorang yang mempunyai penyakit EB, lepuhan air mudah terbentuk pada kulit dengan hanya trauma kecil seperti geseran, gosokan, garu atau pita pelekat. Bagi kes yang teruk, lepuhan air boleh terbentuk secara spontan dan di dalam badan seperti saluran esofagus atau usus.

Secara amnya, kulit mempunyai dua lapisan, iaitu epidermis dan dermis yang dipanggil zon perantara. Kedua-dua lapisan terikat bersama oleh 15 jenis protein kulit seperti kolagen, keratin dan plektin. Bagaimanapun, EB boleh berlaku apabila salah satu protein kulit ini berkurangan atau tiada langsung. Kerosakan atau mutasi pada gen yang membentuk protein kulit boleh menyebabkan kekurangan ini.

7. Psoriasis

Psoriasis adalah penyakit kronik gangguan autoimun yang dialami kira-kira satu hingga tiga peratus penduduk di Malaysia. Ia juga boleh dialami oleh semua orang tidak kira dewasa atau kanak-kanak.

Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui, tetapi kecenderungan genetik dan faktor alam sekitar dikenalpasti turut memainkan peranan.

Penyakit ini dikatakan berkaitan dengan masalah sistem imun yang berhubung rapat dengan sel badan di mana pertumbuhan sel kulit berlaku pada kadar luar biasa sehingga terkumpul dengan pantas di atas kulit.