Jangan ambil risiko

Jangan ambil risiko

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Jumlah kemalangan yang dicatatkan oleh Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL) di seluruh negara ini pada 2014 telah meningkat sebanyak 1 peratus berbanding tahun sebelumnya, daripada 3,338 kes pada 2013 kepada 3,366 kes.

Berdasarkan statistik kemalangan jalan raya yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei melalui JSKLL, pada tahun lalu, kemalangan-kemalangan berkenaan mengakibatkan 24 kematian, 42 cedera parah dan 392 cedera ringan.

Sementara itu, statistik sejak empat tahun lalu menunjukkan bahawa secara keseluruhannya, kes kemalangan jalan raya menurun daripada 3,598 kes pada tahun 2011.

Statistik ini dikongsikan semasa taklimat khas anjuran JSKLL bagi penduduk Mukim Sengkurong yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, dan disampaikan oleh Inspektor Mohd Fadhillah bin Haji Ibrahim dari JSKLL.

Undang-undang dan peraturan yang mengawal jalan raya di negara ini telah dibentuk untuk mempertimbangkan keselamatan semua pengguna jalan raya.

Inspektor Mohd Fadhillah ketika berucap pada sesi taklimat tersebut.
Inspektor Mohd Fadhillah ketika berucap pada sesi taklimat tersebut.
Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas.
Statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Brunei melalui Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya khususnya para pemandu, mengambil ringan terhadap undang-undang dan peraturan itu dengan melakukan kesalahan-kesalahan yang boleh mengakibatkan kemalangan dan menggugat keselamatan mereka.

Menurut Inspektor Mohd Fadhillah, hasil kajian yang telah dibuat oleh pertubuhan-pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan di seluruh dunia mendapati punca utama kemalangan jalan raya adalah daripada faktor-faktor kenderaan, persekitaran dan manusia.

Antaranya memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, membuat pusingan U di tempat yang salah, mengekori kenderaan dengan jarak terlalu dekat, tidak memakai tali pinggang keledar dan melanggar lampu isyarat.

Apa yang ditekankan dalam taklimat itu menjurus kepada pemanduan laju dan membuat pusingan U di tempat yang bukan dikhaskan yang mana ia merupakan isu penting dalam keselamatan jalan raya.

“Kelajuan pergerakan sesebuah kenderaan itu, sama ada melebihi had laju atau di bawah paras yang tidak sesuai (terlalu perlahan) merupakan penyumbang utama dalam faktor kemalangan jalan raya, apabila kelajuan pelanggaran meningkat, jumlah tenaga yang dilepaskan juga meningkat.

“Sebahagian daripada tenaga akan diserap oleh tubuh manusia, Walau bagaimanapun, badan manusia bertoleransi hanya sejumlah terhad kuasa-kuasa luar, apabila jumlah kuasa-kuasa luar melebihi nilai ambang yang fizikal, kecederaan serius atau maut akan berlaku,” jelas Inspektor Mohd Fadhillah.

Selain itu, beliau juga menekankan mengenai pusingan U di tempat yang bukan dikhaskan, yang menurutnya, sesetengah pemandu sering kali didapati mengambil tindakan yang mudah dan mengabaikan faktor keselamatannya dengan membuat pusingan U di tempat yang bukan dikhaskan.

“Perbuatan begini bukan sahaja menyalahi undang-undang dan peraturan jalan raya bahkan membahayakan dirinya serta penumpang yang mengikutinya dan juga pengguna jalan raya yang lain,” tegas beliau.

Sementara itu, Pengarah Pengangkutan Darat di Kementerian Perhubungan, Dr. Haji Sufry bin Haji Ladi, mengingatkan para pemandu untuk jangan mengambil risiko semasa memandu. Beliau turut menekankan supaya tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, pastikan lampu malam berfungsi dengan baik dan kereta yang diubahsuai mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengangkutan Darat.