Jangan berangan seperti ‘Mat Jenin’

Jangan berangan seperti ‘Mat Jenin’

Oleh Normazlina M.D & Hajah Saemah Kepli

 

TUTONG, 10 Okt – Seramai 258 orang pelajar dari Murid Darjah 1,4,5 dan 6 Sekolah Ugama Sengkarai Tutong hari ini telah menghadiri Program Keagamaan Senegara bagi bulan Oktober 2016.

Tema program keagamaan pada kali ini ialah ‘Hijrah Meningkatkan Kecemerlangan Diri’ yang mana pada awal program, sesi tazkirah mengenai tema berkenaan telah disampaikan oleh tenaga pengajar sekolah berkenaan, Awang Fadillah bin Awang.

Tema program keagamaan kali ini memberikan pelajar kefahaman bahawa para pelajar mestilah sentiasa berusaha mempersiapkan diri, sentiasa berdepan dan berusaha untuk mengatasi segala hambatan dan rintangan seperti perasaan takut gagal untuk bersaing, sikap suka bertangguh, malas, banyak dalih dan banyak angan-angan.

Awang Fadilah dalam tazkirahnya menegaskan bahawa dalam mencapai sesuatu kejayaan, para pelajar hendaklah memantapkan diri dengan keimanan, sentiasa muhasabah diri dan menilai diri, menghindari sifat mazmumah (keji), mewujudkan perpaduan dan persaudaraan, mementingkan ilmu pengetahuan, memahirkan diri dan mengusai kemajuan teknologi serta menitikberatkan kepentingan masa.

“Janganlah pelajar menjadi seperti ‘Mat Jenin’ di dalam cerita rakyat, yang selalu berangan-angan dengan harapan tinggi tapi tiada suatu usaha pun dibuat. Berpijaklah pada dunia yang nyata, jadilah seorang pelajar yang realistik, proaktif dan praktikal,” ujar beliau.

Antara pelajar yang menghadiri Program Keagamaan di Sekolah Ugama Sengkarai, Tutong.
Antara pelajar yang menghadiri Program Keagamaan di Sekolah Ugama Sengkarai, Tutong.

Acara diteruskan dengan solat Sunat Hajat, membaca Surah Yasin, membaca Doa Peperiksaan dan membaca Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu, program seumpamanya telah diadakan di Sekolah Arab Belait di mana melibatkan seramai 206 pelajar daripada pelajar Tahun 5 hingga 8 sekolah berkenaan.

Dalam majlis berkenaan para pelajar telah mendengarkan tazkirah daripada Awang Ahmad Za’im bin Haji Bagol yang antara lain menyentuh mengenai Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan bagaimana hijrah baginda dapat memberikan contoh kepada pelajar tentang kelebihannya supaya mereka menjadi pelajar yang cemerlang.

Tazkirah Program Keagamaan Senegara Sekolah Arab Belait disampaikan oleh Awang Ahmad Za’im.
Tazkirah Program Keagamaan Senegara Sekolah Arab Belait disampaikan oleh Awang Ahmad Za’im.

Beliau turut menekankan bahawa iman antara perkara yang perlu dimantapkan oleh seseorang pelajar, di samping muhasabah diri dalam menilai apakah segala usaha untuk berjaya sudah cukup atau sebaliknya.

Tujuan program ini diadakan ialah untuk merealisasikan Rancangan Strategik Jabatan Pengajian Islam iaitu meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di Sekolah Arab dan Agama.

Di samping itu, ia juga bagi meningkatkan keberkesanan program kokurikulum dalam melahirkan akidah yang kukuh dan akhlak yang mulia melalui program pendidikan kokurikulum dengan melibatkan semua pelajar mengikuti program penghayatan beragama.

Program yang diadakan serentak di sekolah-sekolah Arab dan Agama seluruh negara ini bukan sahaja untuk mengasah minda pelajar bahkan berperanan untuk membentuk sahsiah mereka, penglibatan pelajar secara menyeluruh dan komitmen yang tinggi terhadap aktiviti yang dijalankan membolehkan pelajar menimba pengalaman, di samping dapat meningkatkan keterlibatan guru-guru ugama khususnya dalam aktiviti kokurikulum, serta mendorong para pelajar menghadapi dunia sebenar apabila mereka bergaul dengan masyarakat.

ARTIKEL YANG SAMA