Jangan berbangga diri – Fletcher

Jangan berbangga diri – Fletcher

MANCHESTER, 6 Mac (Agensi) – Pemain muda Manchester United diberi peringatan oleh bekas bintang kelab itu, Darren Fletcher supaya jangan berbangga diri sehingga mereka berjaya memenangi sesuatu trofi.

Pengurus United, Louis van Gaal terpaksa menyenaraikan ramai pemain muda seperti Marcus Rashford, Guillermo Varela dan Timothy Fosu-Mensah sejak beberapa minggu lalu akibat kecederaan pemain-pemain utama.

United memiliki tradisi mempromosi pemain daripada akademi dengan Fletcher yang kini beraksi bersama West Brom, antara seorang daripadanya yang dibentuk daripada kelas 1992.

Ketika bersama United, Fletcher memenangi empat gelaran Liga Perdana, Liga Juara-Juara sebelum berhijrah ke The Hawthorns, tahun lalu.

Bercakap menjelang pertembungan dengan United, malam ini, nasihatnya kepada pemain muda yang berjaya mendapat tempat di Old Trafford musim ini adalah perjalanan mereka masih panjang sebelum boleh dianggap setaraf Ryan Giggs, Paul Scholes dan David Beckham.

“Masih ada banyak cabaran yang menanti bagi pemain-pemain muda ini untuk buktikan,” kata Fletcher.

“Saya akan berkata kepada mereka supaya bekerja keras dan jangan berfikir kamu sudah melakukannya. Kamu sudah berjaya jika kamu berjaya memenangi dua atau tiga Liga Perdana dan kamu bermain untuk empat atau lima musim.

“Ketika itu kamu boleh beli Bentley atau kereta mewah. Ketika itu kamu sudah lakukannya,” katanya.

Fletcher berkata, tekanan di Old Trafford cukup tinggi namun berkata kedudukan West Brom yang ketika ini menghuni kelompok bawahan liga lebih memberi tekanan.

“Saya merasa lebih tekanan ketika ini berbanding musim lalu untuk kekal dalam liga.

Memburu kejuaraan adalah sesuatu yang berbeza dan ada tekanan untuk bermain di pentas tertinggi dan lebih penelitian di Man United.

“Begitupun, tekanan untuk kekal dalam liga lebih tinggi dan ia memberi kesukaran kepada saya dengan pantas,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA