Jangan buka aib orang lain

Jangan buka aib orang lain

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Sekiranya kita sebagai seorang manusia tidak mahu dibuka keaiban kita oleh Allah S.W.T khususnya pada hari kiamat di hadapan segala manusia, maka janganlah kita membuka keaiban orang lain.

Peringatan ini dibuat oleh Dekan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Hambali bin Haji Jaili ketika diminta pendapat tentang mereka yang suka menyebarkan gambar-gambar orang yang terlibat dalam kemalangan sehingga mendedahkan nombor pendaftaran kereta dan sebagainya.

Dalam sesi soal jawab Sesi Pembentangan II: Syariah dan Teknologi, pada Simposium Majlis Ilmu 2016 hari ini, beliau berkata bahawa menyebarkan gambar-gambar orang yang terlibat dalam kemalangan sehingga mendedahkan nombor pendaftaran kereta adalah satu cabaran yang kita hadapi pada zaman ini yang mana segala maklumat dan informasi boleh tersebar dengan sekelip mata.

Dr. Haji Hambali (dua kanan) ketika menjawab soalan yang diutarakan dalam sesi soal jawab berkenaan.
Dr. Haji Hambali (dua kanan) ketika menjawab soalan yang diutarakan dalam sesi soal jawab berkenaan.
Antara yang mendengarkan pembentangan tersebut. – Gambar oleh Normazlina M.D.
Antara yang mendengarkan pembentangan tersebut. – Gambar oleh Normazlina M.D.

“Kadang-kadang manusia membuat penilaian hanya berdasarkan kepada gambar yang diperolehi. Khususnya gambar-gambar yang disebarkan di media sosial WhatsApp, di mana manusia membuat andaian sendiri mengenai apa yang berlaku. Padahal pada hakikatnya mungkin bukan seperti mana yang disangkanya.”

Beliau juga merujuk kepada hadis Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud barang siapa yang menutup keaiban saudaranya di dunia, maka Allah S.W.T akan menutup keaibannya kelak pada hari kiamat.

“Kadang-kadang kita suka membuat interpretasi hanya melalui gambar yang kita terima, kemudian kita membuat andaian-andaian yang menyebabkan boleh berlakunya fitnah. Hal beginilah yang paling ditakuti berlaku,” kata beliau lagi.

ARTIKEL YANG SAMA