Jangan ceroboh tanah k’jaan

Jangan ceroboh tanah k’jaan

pg02_160412_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Kebelakangan ini, cuaca kemarau dan kering yang berterusan telah menyebabkan kebakaran hutan gambut di beberapa kawasan tanah kerajaan di Daerah Belait terutama di kawasan sepanjang Lumut Bypass, Seria Bypass, Mumong Bypass dan Lebuhraya Tutong – Brunei dan Muara.

Akibat kejadian kebakaran hutan gambut dan semak belukar di kawasan-kawasan tanah kerajaan berkenaan telah menjadi tarikan kepada pihak-pihak tertentu untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pertanian secara haram. Di sesetengah kawasan, aktiviti-aktiviti yang tidak mendapat kebenaran ini telah mula berkembang dengan cepatnya.

Sehubungan itu, Jabatan Tanah dalam satu kenyataan di sini mengingatkan kepada orang ramai bahawa pencerobohan tanah kerajaan adalah menjadi satu kesalahan di bawah Bab 32 Kanun Tanah Penggal 40.

“Mana-mana orang yang didapati menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut tanpa kebenaran, jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda $2,000 untuk kesalahan pertama; $3,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya atau penjara selama satu tahun atau kedua-duanya; dan Majistret boleh mengeluarkan suatu waran untuk mana-mana pegawai polis yang menghendakinya untuk menghalau dan mengeluarkan orang itu dari tanah kerajaan berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana orang atau sesiapa sahaja yang bersubahat dengan pencerobohan tanah kerajaan berkenaan, juga jika disabitkan kesalahan akan menerima hukuman atau denda yang sama,” kata kenyataan itu.

Oleh yang demikian, orang ramai adalah diperingatkan untuk mematuhi Undang-undang Tanah berkenaan. Pegawai-pegawai Jabatan Tanah dan pegawai-pegawai dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan akan terus memantau perkembangan di kawasan-kawasan yang terlibat.

ARTIKEL YANG SAMA