Jangan dedah maklumat peribadi

Jangan dedah maklumat peribadi

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Okt – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, mengingatkan para pelanggan dan orang ramai supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi kepada sumber-sumber yang tidak disahkan dan tidak dikenali.

Peringatan ini dikeluarkan berikutan aktiviti-aktiviti penipuan menerusi e-mel, pesanan ringkas (SMS), WhatsApp, telefon dan media sosial di Brunei, baru-baru ini.

Menurut kenyataan BIBD, di sini, hari ini, penipuan kad dan akaun atau yang dikenali global sebagai ‘phishing scam’ menjadi semakin kerap berlaku di seluruh dunia dan memerlukan langkah beringat-ingat tambahan.

Sehubungan itu, BIBD mencadangkan beberapa langkah untuk mencegah aktiviti-aktiviti penipuan sedemikian termasuk jangan membalas e-mel yang meminta maklumat kewangan peribadi; jangan kongsi butiran kad ATM/debit/kredit atau kata kekunci log masuk dalam talian kepada sesiapa; dan pastikan kemas kini semua maklumat peribadi di BIBD dengan mengunjungi mana-mana cawangan bank.

Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya memeriksa akaun dengan menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan mudah alih yang disediakan seperti BIBD Mobile dan BIBD Online supaya sentiasa mengetahui jumlah dalam akaun; pastikan semua dana yang keluar atau masuk ke dalam akaun adalah daripada sumber yang dikenali; dan pastikan laman sesawang yang dilayari terjamin dan dilindungi seperti mempunyai penentusahan SSL.

Pelanggan dan orang ramai juga dicadangkan supaya memasang alat keselamatan Internet atau pelayar (browser) web terkini dan mengenal pasti sebarang ancaman; berhati-hati dengan e-mel dan data peribadi, terutamanya dengan pautan yang membawa pengguna ke laman sesawang berlainan; layari laman-laman sesawang dengan menaip URL ke ruang alamat daripada mengetik mana-mana pautan secara langsung; serta pastikan komputer, telefon pintar dan token adalah terjamin.

BIBD, dalam kenyataannya, turut mengingatkan kepada para pelanggannya bahawa institusi-institusi kewangan tidak menawarkan produk-produk cepat kaya.

Oleh yang demikian, pelanggan yang menerima e-mel, SMS atau panggilan telefon memaklumkan mereka mengenai kemenangan sedemikian, dinasihatkan supaya tidak mengendahkannya atau boleh melaporkannya kepada pihak berkuasa jika ia berterusan.

Para pelanggan BIBD dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Panggilan BIBD di talian 223 8181 jika mempunyai sebarang pertanyaan atau kebimbangan mengenai aktiviti-aktiviti penipuan dan bagaimana menghalangnya.

ARTIKEL YANG SAMA