Jangan dibuai kelekaan

Jangan dibuai kelekaan

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Usaha-usaha untuk membangunkan ekonomi perlu dititikberatkan terutamanya dalam ekonomi global yang dilihat bermasalah pada ketika ini dan Negara Brunei Darussalam seharusnya tidak terus leka.

Langkah merangsang dan memperkasakan ekonomi secara menyeluruh perlu dipertingkatkan terutamanya dalam bidang utama seperti pertanian dan makanan asasi agar negara mampu memenuhi sara diri dan tidak selamanya bergantung kepada pihak luar sahaja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu ketika mengurniakan titah pada Majlis Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-70 tahun di Istana Nurul Iman hari ini.

Baginda Sultan turut menyentuh mengenai permasalahan ekonomi selepas rakyat Britain memutuskan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah atau Brexit.

“Keputusan ini menimbulkan sedikit kegusaran kepada para pelabur kerana ia dilihat sebagai mampu menjejaskan nilai pelaburan di Bursa Saham Antarabangsa, sekali gus turut berisiko ke atas nilai mata wang negara itu sendiri.

pg01_160716_a

“Brunei sebagai negara yang terlibat dalam perdagangan antarabangsa, juga tidak terkecuali daripada merasakan kesan keputusan tersebut tetapi kerajaan mempunyai dasar untuk melaksanakan pelaburan seimbang agar risiko tersebut dapat kita tangani secara terurus,” titah Baginda.

Dalam perkara ini, Baginda yakin Britain dan komuniti antarabangsa mampu menangani pelbagai isu berpunca daripada Brexit berdasarkan pengalaman luas semua pihak dalam mengatasi semua permasalahan yang timbul.

Baginda seterusnya bertitah, Brunei sendiri akan terus menghargai hubungan dengan United Kingdom khasnya hubungan perdagangan yang telah berjalan sekian lama dan akan tetap mengukuhkan hubungan ini untuk kebaikan bersama kedua-dua negara.

Manakala dalam aspek pendidikan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan terus memacu perkembangan pendidikan kerana ia adalah aset dan kuasa untuk menentukan kelangsungan bangsa.

Tegas Baginda Sultan, kualiti pendidikan tidak dapat dikompromikan melainkan ia mesti terus diperkaya dan ditingkatkan. Kita menaruh harapan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk berbincang dan bekerjasama dengan Unit Penggerak di Jabatan Perdana Menteri bagi mencari jalan bagaimana prestasi pendidikan rendah dan menengah khasnya dapat ditingkatkan.

“Kerana dalam era mutakhir ini, Beta sendiri mendapati masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan selaku tonggak utama Wawasan Brunei 2035, pendidikan tidak boleh berada di bawah melainkan tempatnya di atas untuk benar-benar diambil perhatian.

“Ini kerana pendidikan merupakan pelaburan sepanjang hayat untuk menentukan maju mundurnya sesuatu bangsa dan jika pendidikan lemah, maka tidak ada siapa pun yang akan memandang tinggi kepada kita,” tegas Baginda. Dalam titah berkenan, Baginda juga turut menekankan sudah tiba masanya untuk Brunei mengaktifkan segala usaha tanpa berlengah-lengah lagi.

Atas & Bawah: Kerabat-kerabat diraja yang berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang Kebesaran di Istana Nurul Iman.
Atas & Bawah: Kerabat-kerabat diraja yang berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Bintang Kebesaran di Istana Nurul Iman.

pg03_160716_b

Menurut Baginda, salah satu contoh ke arah itu di mana negara sekarang sedang merancang untuk menggerakkan ekonomi dengan kerajaan mengungkayahkan satu projek membina sistem pengangkutan yang selamat dan cekap.

“Projek ini ialah untuk memanjangkan dermaga Pelabuhan Muara dan membesarkan Terminal Kontena Muara sebagai pemudah cara kemasukan dan tarikan pelabur luar asing ke negara ini.

“Di samping itu, secara umum kita juga menggalakkan sifat kreatif dan inovatif dalam melaksanakan semua projek pembangunan melalui kaedah kerjasama awam dan swasta sebagai pendorong ke arah perkongsian antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan projek kerajaan,” titah Baginda lagi.

Baginda turut menyentuh hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa di mana Brunei akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan serantau dan antarabangsa dalam menjana pertumbuhan ekonomi dan lain-lain kepentingan.

“Melalui rangkaian-rangkaian pemangkin serantau dan antarabangsa, kita akan sentiasa bersama-sama memain peranan dalam hal ehwal keselamatan serantau mahupun antarabangsa di samping menghulurkan bantuan-bantuan kemanusiaan kepada pihak yang memerlukan selaras dengan kemampuan kita,” titah Baginda lagi.

Pada mengakhiri titah, Baginda merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan warga perkhidmatan awam, pasukan keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta termasuk mereka yang bertugas di luar negara atas sumbangan dan sokongan mereka kepada kerajaan.

Setinggi-tinggi penghargaan juga disampaikan kepada seluruh ahli jawatankuasa perayaan peringkat kebangsaan dan daerah atas segala khidmat usaha yang disumbangkan untuk menjayakan perayaan ini.

“Beta berdoa semoga kita dan Negara Brunei Darussalam akan sentiasa kekal dan makmur dikurniakan limpah rahmat serta perlindungan oleh Allah S.W.T.”

ARTIKEL YANG SAMA