Jangan jadikan Brunei pangkalan militan

Jangan jadikan Brunei pangkalan militan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Umat Islam di negara ini diingatkan supaya berwaspada dengan pengaruh kumpulan militan yang cuba menyebarkan pengaruh mereka serta menggugat keamanan.

Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini berkata, kita hendaklah bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana ditakdirkan hidup di dalam negara yang aman, damai dan harmoni, menikmati kemakmuran dan keselesaan. Ini adalah berkat kita berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan hidup bersatu padu.

Menurut Khatib, Islam menolak apa jua kegiatan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan yang menggugat keamanan negara.

“Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, kita hendaklah mempertahankan keamanan negara kita. Janganlah kita mudah terpengaruh dengan pujuk rayu pihak pelampau yang menggunakan nama Islam yang mengajak untuk menyertai kumpulan mereka itu.

“Sebagaimana yang kita maklum melalui media masa, pada masa ini terdapat kumpulan militan yang bergiat aktif melakukan keganasan seperti menculik dan melakukan pembunuhan secara kejam dengan beranggapan apa yang mereka lakukan itu sebagai jihad.”

Kata Khatib, dengan bermodalkan slogan jihad tersebut kumpulan ini telah berjaya menarik anak-anak Islam seluruh dunia. Majoriti yang terpengaruh menyertai kumpulan militan ini adalah mereka yang berlatarkan pendidikan agama.

“Mungkin disebabkan janji syurga kepada mereka yang mati syahid kerana berjuang di jalan Allah, golongan ini mudah terpengaruh dengan pujuk dan janji walaupun dengan hanya berkomunikasi dengan laman sosial.”

Menurut Khatib, jihad dalam Islam tidak sekali-kali membunuh sesuka hati, lebih-lebih lagi membunuh sesama Islam. Islam mengawal dan mengajar umatnya agar nilai-nilai keluhuran dan akhlak tetap dipatuhi walaupun dalam peperangan.

Katanya, jihad mempunyai maksud yang luas, jihad adalah usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dan tidak semestinya membawa kepada peperangan atau pertempuran.

Ini adalah kerana, usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh dapat dilakukan dengan cara jalan yang aman serta adil dan bukan dengan cara yang ganas lagi zalim.

Khatib dalam khutbahnya menyeru agar umat Islam tidak terpengaruh untuk mengikuti mana-mana kumpulan militan. Berjuang dan mempertahankan ugama tidak bermakna seseorang itu mesti menggunakan senjata dan meletupkan diri.

“Sesungguhnya tindakan membunuh diri menggunakan bom dan menyifatkan sebagai jihad adalah salah, lebih-lebih lagi jika tindakan itu menyebabkan orang yang tidak bersalah turut terkorban.”

Ia adalah menjadi tanggungjawab setiap individu, keluarga dan orang ramai untuk memantau perlakuan masing-masing, untuk tidak terpengaruh dengan perjuangan seperti ini.

Khatib menyeru agar rakyat Brunei tidak menjadikan negara ini sebagai pangkalan untuk militan kerana antara jalan atau cara kumpulan militan menyebarkan pergerakan mereka ialah melalui media sosial.

Para ibu bapa dinasihatkan untuk memantau dan mengawasi anak-anak mereka ketika melayari internet dan ketahuilah dengan siapa mereka berhubung agar mereka terpelihara daripada terpengaruh dan terpedaya dengan gerakan-gerakan kumpulan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA