Jangan kita terikut-ikut

Jangan kita terikut-ikut

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Dis – Agama Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berurusan dan bergaul dengan penganut agama lain, selagi mereka tidak memusuhi, memerangi umat Islam dan tidak membuat perkara-perkara yang dilarang atau ditegah Islam.

Namun dalam berbuat baik dan berlaku adil (dengan penganut agama lain), janganlah sampai kita redha terhadap pegangan agama yang mereka anuti, iaitu terikut-ikut dengan kepercayaan agama mereka dan cara hidup atau amalan keagamaan mereka.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menyatakan perkara ini ketika penganut agama lain sedang membuat persiapan bagi meraikan sambutan Hari Krismas yang akan disambut pada penghujung bulan Disember ini.

Khatib turut memetik Fatwa Mufti Negara Brunei Darussalam yang menyatakan bahawa penganut-penganut agama lain yang bernaung di bawah pemerintahan kerajaan negara Islam adalah dibolehkan mengamalkan agama atau merayakan perayaan agamanya dengan syarat ianya tidak dizahirkan kepada orang Islam terutama perkara-perkara yang berupa simbol kekufuran.

Mereka (penganut-penganut agama lain) juga dilarang daripada memperdengarkan kepada orang Islam perkataan-perkataan syirik yang menyekutukan Allah S.W.T.

“Kemeriahan hari-hari yang disambut penganut agama lain kadang-kadang menggamit sesetengah orang Islam untuk turut sama meraikannya. Perlu kita sedari bahawa setiap perayaan agama lain yang diadakan itu bukan hanya sekadar sambutan semata-mata, tetapi juga sebagai memperingati atau berhubung kait dengan akidah dan kepercayaan mereka yang bercanggah dengan akidah Islam.

“Kadang-kadang kepercayaan itu juga diselitkan dalam bentuk hiburan, dengan membawa maksud sama ada untuk memeriahkan suasana perayaan atau ada tujuan keagamaan yang tidak disedari,” jelas Khatib lagi.

Oleh itu, orang Islam perlulah berhati-hati agar tidak mudah terikut-ikut dengan perayaan sedemikian yang tidak ada kaitan langsung dengan Islam kerana perbuatan terikut-ikut itu akan ditakuti menyerupai akidah agama lain tanpa atau kurang disedari umat Islam dan boleh mencacatkan akidah mereka. Menurut Khatib, orang Islam dilarang menyerupai amalan agama lain dalam perkara yang berkaitan dengan kepercayaan mereka.

Di antara maksud ‘penyerupaan’ dengan sesuatu kaum yang lain (dalam konteks meraikan perayaan agama lain) ialah menyertai simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu lilin, pokok Krismas, memasang atau menyertai lagu-lagu bercirikan agama mereka, meletakkan apa-apa tanda di tubuh badan, memberikan ucapan seperti ‘Merry Christmas’ atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam dan mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng dan sebagainya.

“Mungkin ada yang akan berpendapat bahawa perbuatan sedemikian dan perkara-perkara sebegitu rupa hanyalah perkara yang remeh dan tidak perlu dijadikan isu.

“Akan tetapi, kita selaku umat Islam di negara ini hendaklah menjauhi perkara-perkara yang boleh menjejaskan akidah,” tegas Khatib.

Sehubungan itu, Khatib mengingatkan umat Islam di negara ini untuk tidak terpengaruh dan terikut-ikut dengan perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah dan berdoa agar umat Islam terselamat daripada kemurkaan Allah S.W.T.