Jangan kompromi keselamatan negara

Jangan kompromi keselamatan negara

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Pegawai-pegawai tentera yang naik dalam tangga kerjaya mereka akan berhadapan dengan peranan serta tanggungjawab yang lebih mencabar dan rumit di mana mereka mampu untuk menunjukkan prestasi cemerlang berpandukan kepada tiga aspek utama iaitu kepimpinan, ilmu pengetahuan dan rasa belas kasihan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat ketika berucap pada Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Maktab Turus 5 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei Bagi Tahun 2015 (CSC ABDB 5) yang berlangsung di Auditorium Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kampung Tanah Jambu, hari ini.

Beliau berkata bahawa dalam mempertahankan negara, ia tidak selalu mempunyai cara penyelesaian yang tersedia untuk menangani cabaran-cabaran sekuriti yang baru di mana pandangan sekuriti pada masa kini dan masa hadapan dipenuhi dengan pelbagai ketidakpastian yang mana setiap cabaran itu adalah unik serta kurang dikenali.

Dalam keadaan itu, ulas Dato Paduka Haji Mustappa, seseorang pegawai kanan pada masa akan datang harus membuat keputusan dengan setiap keputusan yang dibuat tidak mengira betapa kecil keputusan itu, mempunyai kesan.

“Sekuriti sesebuah negara tidak harus dan sesekali tidak boleh dikompromikan oleh keputusan yang salah atau respons tidak teratur, yang dilakukan dengan konsensus kolektif melalui proses dialog dan konsultasi.”

Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada para peserta yang menamatkan kursus berkenaan.
Dato Paduka Haji Mustappa menyampaikan sijil kepada para peserta yang menamatkan kursus berkenaan.

Oleh itu, tekannya, setiap keputusan berhubungan dengan pertahanan negara harus dibuat dengan tahap tanggungjawab dan akauntabiliti yang tertinggi.

Beliau menambah, sebagai pengurus peringkat tengah, pengalaman mereka harus membentuk kefahaman aspek operasi dan taktikal ketenteraan yang menyeluruh serta komprehensif bagi penggunaannya yang efektif.

Oleh itu, sebagai pegawai-pegawai kanan akan datang, mereka diperlukan untuk mempunyai kefahaman yang lebih holistik mengenai impak mereka kepada aspek strategik pertahanan negara.

“Pertahanan merupakan satu perniagaan yang amat mahal, merangkumi aset-aset ketenteraan canggih yang bernilai dalam lingkungan jutaan dolar.”

Dalam hubungan itu, Dato Paduka Haji Mustappa berkata, dolar yang diperlukan akan meningkatkan bajet pertahanan yang setentunya akan membawa kepada pengurangan dalam perbelanjaan kerajaan pada sektor lain seperti pendidikan atau kesihatan.

Oleh disebabkan sumber itu adalah terhad, ulasnya lagi, para pegawai harus mewajarkan penggunaannya dan nilainya setiap kali.

Sebagai pegawai kanan masa hadapan, terutama di dalam institusi pertahanan, ujar Dato Paduka Haji Mustappa, mereka harus mempunyai tahap akauntabiliti yang tinggi untuk memastikan bahawa setiap dolar yang dilaburkan dalam pertahanan akan membawa pulangan yang mempunyai nilai untuk wang yang terbaik dan bukan sahaja memenuhi matlamat pertahanan mereka sendiri tetapi juga matlamat strategik keseluruhan kerajaan.

“Untuk melakukan ini, saya berfikiran, kamu perlu memupuk pemikiran keusahawanan. Ini merupakan sesuatu yang masih belum kita lakukan atau ditakrifkan, sesuai bagi pegawai-pegawai tentera kita.”

Ia merupakan satu kemahiran yang amat relevan, tegas beliau, iaitu sesuatu yang harus diterjemahkan ke dalam objektif kurikulum CSC bagi pertimbangan pada masa akan datang.

Mengulas mengenai rasa belas kasihan, Dato Paduka Haji Mustappa berkata ia berkait rapat dengan melahirkan pemimpin masa depan dalam institusi pertahanan khususnya bagi ABDB.

Rasa belas kasihan itu, katanya lagi, adalah amat penting untuk memupuk dan melahirkan kesetiaan serta nilai-nilai moral yang baik dan juga membina ikatan yang mendalam dalam kalangan rakan-rakan yang melambangkan etos ketenteraan setia kawan.

Dato Paduka Haji Mustappa juga menyatakan harapan supaya kesemua pegawai tentera dan peserta kursus itu akan terus meningkatkan ilmu pengetahuan serta kemahiran yang diperoleh dalam kursus itu dan untuk menggunakannya secara efektif.

ARTIKEL YANG SAMA