Jangan lakukan kesilapan – Klopp

LONDON, 6 Dis – Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp mengelak untuk melakukan satu lagi kesilapan ketika skuad kendaliannya diletakkan harapan menggunung untuk mara ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Keputusan seri di laman sendiri menentang Spartak Moscow, esok pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan mengesahkan tempat buat The Reds di pusingan kalah mati tetapi kemenangan akan meletakkan mereka selaku juara Kumpulan E.

Klopp jelas enggan memandang remeh perlawanan berkenaan selepas menyaksikan Liverpool mensia-siakan kelebihan 3-0 untuk sekadar mengutip satu mata ketika menentang Sevilla pada perlawanan terdahulu.

Tiga tahun lalu, Liverpool yang juga juara Eropah lima kali memerlukan kemenangan di Anfield menentang Basel untuk mara tetapi skuad yang ketika itu dibimbing Brendan Rodgers terpaksa tersisih ke saingan Liga Europa.

“Semua perkara yang baik dan buruk yang berlaku dalam Liga Juara-Juara, kebanyakannya baik, sudah membawa kami ke situasi ini dan jika kami menang dan mara, ia adalah sesuatu yang hebat,” kata Klopp.

Klopp semasa mengetuai sesi latihan di kompleks latihan Melwood, Liverpool menjelang perlawanan menentang Spartak Moscow, awal pagi nanti. – AFP

“Saya tahu ramai orang mungkin berfikir yang kami sepatutnya sudah mara tetapi ia bukannya kehidupan, ia bukannya ‘jika’ dan ‘bila’, ia adalah mengenai ketikanya.

“Spartak boleh bercakap perkara yang sama kerana mereka mensia-siakan empat mata menentang Maribor yang meletakkan mereka pada situasi yang berbeza.”

Seandainya berjaya, Klopp akan membawa Liverpool ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 2009.

Pengurus dari Jerman itu berkata dia akan menyenaraikan skuad terkuat sekali pun dijadual bertemu seteru tetangga, Everton yang dibimbing jurulatih baharu, Sam Allardyce pada Ahad ini dalam kempen Liga Perdana Inggeris. – AFP