Jangan lalai dengan Pokemon Go

Jangan lalai dengan Pokemon Go

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Dalam zaman peralihan informasi dan teknologi maklumat, umat Islam diseru agar tidak terlalu terikut-ikut dengan perkembangannya dan berhati-hati terhadap segala yang terhasil daripada teknologi ini.

Ini kerana umat Islam dilarang melakukan perkara yang sia-sia dan boleh mendatangkan kemudaratan dan kebinasaan seperti fitnah, perjudian atau permainan yang melalaikan. Perkara itu ditekankan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini dan menegaskan antara perkembangan teknologi maklumat terkini adalah rekaan permainan aplikasi telefon bimbit yang tengah hangat di negara ini, Pokemon Go.

Menurut Khatib, fenomena aplikasi permainan yang menggunakan teknologi realiti berperantara dan perisian berasaskan lokasi dan pelancaran aksesnya menjadi kegilaan seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.

Namun, umat Islam hendaklah melihat keadaan semasa trend permainan ini dalam pelbagai sudut termasuk keagamaan, kemasyarakatan, perindustrian, sosial dan kemanusiaan yang mana ia juga perlu disedari permainan ini boleh mengancam pemain kerana mendedahkan lokasi pemain kepada pihak yang mengambil kesempatan.

“Ini termasuk ancaman penggodam, pencerobohan ruang peribadi dan ancaman jenayah rompak dan curi,” tegas khatib.

Selain itu, permainan ini juga berisiko membawa pemain ke kawasan terlarang dan terkawal seperti stesen minyak, stesen elektrik, pangkalan tentera dan seumpamanya. “Ia juga dipercayai boleh mendedahkan bahagian keselamatan negara kepada dunia luar manakala nilai kemurnian dan kesucian tempat-tempat ibadat turut tergugat apabila pemain aplikasi berkenaan memasuki premis masjid semata-mata untuk bermain bukanya untuk beribadat,” tambahnya.

Sehubungan itu, umat Islam di negara ini diingatkan untuk membetulkan niat dan etika ketika mengunjungi kawasan masjid, surau dan balai ibadat di mana niat utamanya adalah untuk beribadat,beriktikaf, berzikir dan meraih keberkatan serta keampunan daripada Allah dan bukan untuk lalai dan leka dengan permainan dan urusan duniawi atau perkara yang merugikan.

“Kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada dengan mengawal diri dan anak-anak serta keluarga daripada terjebak dengan kelalaian, kerosakan, bahaya dan pelbagai kemudaratan akibat kelekaan bermain permainan tersebut yang boleh membawa kebinasaan,” kata khatib.

Khatib seterusnya menekankan, supaya menghindari daripada menganjurkan atau menyertai perkumpulan bermain permainan tersebut di tempat awam kerana ia boleh mengganggu orang ramai dan boleh mendatangkan bahaya seperti kemalangan lalu lintas termasuk bersesak-sesak.

Ini termasuk bermain di rumah atau di mana-mana saja yang boleh melalaikan dan boleh pula menyebabkan hal-hal yang buruk terjadi yang boleh menjejaskan keharmonian kemaslahatan hidup bermasyarakat dan bernegara.

Beliau seterusnya berharap, rakyat di negara ini akan sama-sama memberikan reaksi yang positif dalam mengawal obsesi penggunaan permainan ini supaya tidak berlaku perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian dan kemaslahatan hidup bermasyarakat.

Di samping mengambil langkah-langkah dalam memastikan kesejahteraan penduduk negara ini terjamin sesuai dengan Maqasid Syariah iaitu objektiviti utama penjagaan kehidupan berasaskan syariah dengan penjagaan agama, penjagaan nyawa dan tubuh badan, penjagaan akal, penjagaan keturunan dan penjagaan harta.

“Sesungguhnya masa dan kehidupan kita diciptakan bukan untuk disia-siakan tetapi ada asas tujuan dan matlamatnya iaitu hamba Allah untuk beribadat kepadaNya,” tegasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA