Jangan leka, fokus corak permainan – Steve Kean

Jangan leka, fokus corak permainan – Steve Kean

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Ketua Jurulatih DPMM FC, Steve Kean mengingatkan supaya barisan Pemain DPMM FC untuk tidak leka dan sentiasa berusaha gigih dalam perlawanan yang akan menemukan pasukannya dengan Pasukan Home United FC dalam Kejohanan Liga Singapura yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas esok.

Menurutnya Home United FC adalah pasukan yang boleh membawa ancaman kepada pasukan DPMM FC dan juga merupakan pasukan yang baik di bawah pimpinan jurulatih yang sudah masak dengan corak permainan anak-anak buahnya.

“Home United jika dilihat daripada corak permainan sejak dahulu lagi sememangnya mempamerkan konsep serangan dan pertahanan bersatu sebagai sebuah unit dan mereka mempunyai kebolehan hantaran yang sangat baik dan ia boleh sahaja membahayakan kedudukan perlawanan,” ujarnya.

Beliau menambah “pada saya setelah beberapa kali bertemu dengan mereka kita kurang mendapat banyak mata dan saya sendiri sangat suka melihat cara mereka bermain dan secara peribadi mereka ini adalah pasukan yang berbahaya dan boleh sahaja membuat kita kecewa jika kita leka dalam perlawanan menentang mereka besok.”

Steve Kean ketika ditemui media.
Steve Kean ketika ditemui media.

Menurut Steve Kean lagi, berbanding kelab lain Home United adalah antara pasukan yang masih mengekalkan sebilangan besar pemain dan pegawainya yang lama menjadikan mereka semakin serasi pada musim ini dengan corak permainan langsung yang serupa dengan DPMM FC sendiri.

“Corak permainan mereka lebih cenderung kepada cara permainan kita dan pertembungan kali ini adalah mengenai penguasaan padang dan kedua-dua pasukan akan cuba menembusi gawang masing-masing dan ia pasti akan membuat keadaan sangat sengit besok,” tegasnya lagi.

Ditanya mengenai kecergasan dan kecederaan, menurutnya setakat ini tiada kecederaan dan berkata, “saya sangat bersyukur dengan keadaan ini kerana semua pemain berada dalam keadaan yang sangat memuaskan bagi berhadapan Pasukan Home United bagi memastikan tiga mata penuh milik kita.”