Jangan leka – Steve Kean

Jangan leka – Steve Kean

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Prestasi pada 30 minit pertama sangat menggalakkan namun rentak pemain semakin perlahan pada 10 minit terakhir babak pertama sehingga Garena Young Lions mengambil peluang untuk menjaringkan gol bagi menaikkan semangat mereka.

Pasukan muda itu terus mencari peluang untuk mendapatkan jaringan dan memberikan tentangan kepada lawan selepas berjaya menjaringkan gol pada minit terakhir babak pertama.

Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean berkata demikian ketika ditemui selepas pasukannya menentang Garena Young Lions di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.

Ketika mengulas corak permainan lembab pada babak kedua, kata beliau, Young Lions mengubah corak permainan dengan meningkatkan serangan dan hampir berjaya merapatkan jurang namun jaringan Ramazotti menyelamatkan pendahuluan.

“Muiz nampak sedikit letih sepanjang perlawanan namun saya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana pada saya mereka perlukan pendedahan dan belajar daripada pengalaman dalam perlawanan seperti ini,” tegasnya lagi.

Beliau belum dapat mengulas mengenai kedudukan Maududi dan ketua pasukan, Rosmin Kamis yang mendapat kad kuning pada perlawanan itu namun menyatakan rasa lega kerana Azwan Ali Rahman dan Paolo Sergio akan cergas menentang Tampines Rovers FC hujung minggu ini.

“Ketiadaan mereka sangat dirasakan dalam perlawanan terutama pada bahagian serangan meskipun semua strategi dan perancangan berjalan lancar walaupun pemain mula leka kerana berada jauh di hadapan,” kata beliau.

“Pada saya kesilapan terbesar adalah respons yang amat perlahan dan lambat untuk mendapatkan bola daripada pihak lawan dan itu menjadi ruang untuk pasukan lawan merapatkan kedudukan,” terang Kean lagi.

ARTIKEL YANG SAMA