Jangan lepaskan peluang

Jangan lepaskan peluang

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Peminat bola sepak dan penyokong DPMM FC yang hadir memberikan sokongan pada perlawanan penentuan juara Liga Singapura (Liga-S) antara skuad negara dengan Balestier Khalsa FC Sabtu depan, berpeluang memenangi tiket penerbangan ke Dubai, Kuala Lumpur atau Jakarta.

Perlawanan antara pasukan bola sepak elit negara dan Balestier Khalsa pada 21 November ini akan menentukan sama ada DPMM FC atau Tampines Rovers FC yang akan dinobatkan sebagai juara kali ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Pengerusi Penerbangan Diraja Brunei (RB), Dermot Mannion semasa sidang media di Ibu Pejabat RB di ibu negara hari ini.

Hadir sama pada sidang itu ialah Ketua Pengurusan Pendapatan RB, Mohd Hanif bin Abdullah sementara Kelab DPMM FC diwakili oleh Pengurus Pasukan, Awang Ali bin Haji Momin dan Pengurus Kelab, Pengiran Haji Muhd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin.

Mannion berkata, RB akan menaja hadiah cabutan bertuah berupa tiga tiket penerbangan pergi dan balik masing-masing ke Dubai, Kuala Lumpur dan Jakarta.

Dermot Mannion (dua kanan) bercakap kepada pemberita semasa sidang media bersama Pengiran Haji Muhd Waslimin (kiri) dan Awang Ali (dua kiri).
Dermot Mannion (dua kanan) bercakap kepada pemberita semasa sidang media bersama Pengiran Haji Muhd Waslimin (kiri) dan Awang Ali (dua kiri).

Beliau juga mengumumkan RB akan memuat naik beberapa soalan kuiz dalam Facebook RB sebelum sepak mula dan semasa separuh masa dan pemenang kuiz berpeluang memiliki model kapal terbang RB keluaran terhad serta kemeja–T RB.

Ketika ditanya mengenai penajaan itu, Mannion berkata, RB sememangnya menjadi penyokong kuat DPMM FC sejak pasukan itu diundang menyertai Liga-S pada 2009.

RB juga menjadi penaja tiket penerbangan kepada penerbit majalah perlawanan DPMM FC, AKK Designs untuk membuat liputan perlawanan DPMM FC di gelanggang lawan.

Sementara itu, Awang Ali mengesahkan tiket percuma akan diberikan kepada penyokong dan pemegang tiket yang awal akan berpeluang mendapat satu daripada 1,500 helai kemeja-T yang diedarkan berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Bagi pengunjung yang berminat untuk datang awal, pintu masuk ke Stadium Negara Hassanal Bolkiah akan dibuka pada jam 6:45 petang.

ARTIKEL YANG SAMA