Jangan mudah memberi harapan

Jangan mudah memberi harapan

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menyeru para pegawai perubatan untuk tidak dengan mudah menjanjikan harapan kepada para pesakit atau ahli keluarga pesakit.

“Satu lagi yang banyak diperkatakan sekarang ialah mengenai adanya pegawai perubatan yang mudah menjanjikan harapan. Harapan itu pula sangat tinggi sampai 90 atau 80 peratus.

“Manakala datang seorang pesakit yang menurut pegawai perubatan perlu dibedah maka pegawai tersebut akan menjanjikan harapan kalau pesakit dibedah maka 90 atau 80 peratus dia akan sembuh atau selamat, sebaliknya jika tidak dibedah maka harapan itu, cuma tinggal 10 atau 20 peratus sahaja.

“Pihak pesakit atau keluarga pesakit yang mendengar jaminan ini, tidak lagi berfikir panjang, melainkan terus sahaja bersetuju untuk dibedah tetapi setelah pembedahan selesai dijalankan perkembangan adalah tidak menggalakkan malah mengecewakan kerana pesakit terus sahaja tidak sedarkan diri sehingga menemui ajal tanpa sempat sedar,” titah Baginda semasa keberangkatan Baginda ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Bandar Seri Begawan, hari ini.

Baginda bertitah bahawa perkara itu bukannya berlaku ke atas seorang sahaja tetapi ke atas beberapa buah keluarga yang pernah memberitahu bahawa anak mereka atau suami mereka atau lain-lain anggota keluarga yang turut menerima nasib malang itu kerana terpikat dengan apa yang dijanjikan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan mengurniakan titah.

“Jika ini betul berlaku maka pegawai perubatan berkenaan perlulah diberikan peringatan yang tegas kerana tidak sesiapapun yang harus menjanjikan harapan melebihi daripada usahanya.

“Usaha atau ikhtiar kita hanyalah merawat, bukan menjanjikan kesembuhan mutlak kerana penyembuh itu, hanyalah Allah jua,” tegas Baginda.

“Jadi apabila timbul jaminan, 90 atau 80 peratus mesti sembuh, adalah satu perkara yang sia-sia lagi salah. Oleh itu, bagi pihak-pihak yang berkenaan, perlulah mengambil perhatian supaya perkara seperti ini, tidak akan jadi amalan berterusan dalam rumah sakit kita.”

Baginda seterusnya bertitah bahawa terdapat banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan berharap kerja-kerja pembaikan itu akan terus dilaksanakan, khasnya dalam mentadbir atau mengurus.

Baginda bertitah, dalam pengurusan dan pembahagian ubat-ubatan umpamanya, janganlah ada penyelewengan dan pembaziran kerana jika berlaku penyelewengan, ubat-ubatan boleh sahaja cepat susut atau kehabisan.

“Demikian juga jika pembahagian ubat-ubatan tidak ditadbir dengan cermat maka pastinya akan berlakulah pembaziran. Semua ini berisiko buruk, boleh melumpuhkan bekalan dan simpanan ubat-ubatan kita.

“Dalam mengendalikan dan cara merawat pesakit pula, kita juga mendengar ramai daripada kalangan doktor hanya pandai memberi ubat sahaja, lepas memeriksa pesakit, terus sahaja menulis nama ubat, itu sahaja tanpa membekalkan sedikit nasihat kepada pesakit.

“Pada hemat Beta, doktor yang hebat bukan saja pandai memberikan ubat tetapi juga tidak keberatan untuk memberi nasihat kerana nasihat itu, kadang-kadang lebih diperlukan di samping ubat. Ini semua mustahak kita lihat sebagai langkah memenuhi Visi 2035 Kementerian Kesihatan.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra dengan salah seorang pesakit.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan beramah mesra dengan salah seorang pesakit.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Kompleks Wad, Hospital RIPAS.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat ke Kompleks Wad, Hospital RIPAS.

Baginda Sultan dalam titahnya juga menyentuh mengenai dengan nasihat yang diberikan khususnya semasa kemunculan virus Zika.

“Menyentuh perkara nasihat, baru-baru ini, muncul virus Zika melanda beberapa buah negara, termasuk antaranya ialah negara jiran seperti negara-negara yang telah dilanda Zika ini merasa cemas.

“Maka kita juga sepatutnya turut merasa cemas sama. Betapa tidak, bukankah kedudukan kita dengan beberapa negara yang telah dilanda oleh virus ini adalah ibarat jiran dan sebelah rumah sahaja.

“Beta perhatikan tidak terdapat peringatan tegas dan tindakan berkesan diambil dalam menghadapi situasi ini. Kita dari awal-awal lagi cuma setakat mengingatkan orang ramai supaya tidak perlu cemas sedang mangsa Zika itu terus meningkat di beberapa destinasi yang berhampiran dengan kita.

“Beta akui nasihat sudah diberi seperti nasihat bagaimana mencegah nyamuk pembawa penyakit tetapi nampaknya, hanya lebih kepada nasihat dan sedikit tindakan susulan.

“Misalnya nasihat untuk kebersihan untuk alam sekitar hanyalah semata-mata nasihat, sedang tindakan daripada pihak-pihak yang berkenaan sendiri amat sedikit dan tidak berkesan.

“Buktinya, sampah-sarap terus tidak terurus dengan baik, longkang-longkang masih diisi oleh sampah dan sungai-sungai juga masih terus menghanyutkan sampah tanpa ditangani dengan berkesan.

“Pihak-pihak berkenaan mungkin lebih suka untuk menuding jari kepada orang ramai sebagai tidak peka kepada kebersihan atau tidak mahu bekerjasama menjaga kebersihan. Katakanlah perkara ini ada benarnya, iaitu orang ramai tidak mahu bekerjasama tetapi Beta ingin tahu apakah yang sudah dibuat untuk memperbaikinya.

“Dalam isu orang ramai tidak mahu bekerjasama, Beta ingin juga tahu apakah tindakan yang diambil mengenainya. Ada ataupun tidak sebarang peraturan atau sebarang akta untuk mengubati penyakit ini.”

Baginda bertitah, “Kalau ada, sudahkah ia pernah dilaksanakan untuk tujuan mendisiplinkan orang ramai, jika di tempat lain, membuang puntung rokok sembarangan pun diambil tindakan betapa dengan mencampak sampah merata-rata seperti mencampak ke jalan raya atau ke dalam longkang atau ke dalam sungai. Beta minta respons daripada pihak-pihak berkenaan.”

ARTIKEL YANG SAMA