Jangan mudah percaya sebaran media sosial

Jangan mudah percaya sebaran media sosial

SIBU, 12 Nov (Bernama) – Pengguna aplikasi media sosial disarankan agar tidak terlalu mempercayai sepenuhnya apa yang disebarkan segelintir pihak menggunakan aplikasi berkenaan.

Anggota Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, banyak perkara yang disebarkan adalah fitnah semata-mata untuk memburukkan imej kerajaan.

“Jangan percaya bulat-bulat perkara yang disebarkan itu tanpa menyiasat sendiri terlebih dahulu kerana banyak perkara yang disebarkan adalah fitnah semata-mata untuk menjatuhkan wakil rakyat sesuatu tempat dan memburukkan imej kerajaan,” katanya.

Menurut beliau yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan pelaksanaan sesuatu projek pembangunan mereka hendaklah memberi kritikan yang disertakan dengan penyelesaian, bukannya menabur fitnah yang tidak berasas.

Berucap merasmikan Majlis Mini Konvokesyen Tabika Kemas Parlimen Lanang di sini hari ini beliau berkata, kesan fitnah itu bukan hanya terpalit kepada wakil rakyat atau kerajaan sahaja tetapi tempiasnya akan turut dirasai orang lain.

Memberikan contoh beliau berkata, terdapat penyebaran gambar sebuah tabika Kemas yang hanya berbumbung dan tidak berdinding di sebuah rumah panjang di Bahagian Kapit menggunakan aplikasi WhatsApp bagi menunjukkan kononnya kerajaan tidak peka dengan keperluan rakyat.

“Yang sebenarnya bangunan tabika itu yang didirikan secara gotong-royong sememangnya belum siap sepenuhnya.

“Perbuatan tersebut amat mengecewakan dan melukakan hati penduduk rumah panjang terbabit kerana mereka telah bersusah payah untuk mendirikannya,” kata beliau.

Nanta kemudian menyampaikan sijil tamat tabika dan hadiah kecemerlangan kepada lebih 200 kanak-kanak dari 40 Tabika Kemas Parlimen Lanang.