Jangan pandang mudah Slovenia – Hart

Jangan pandang mudah Slovenia – Hart

LONDON, 11 Okt – Penjaga gol England Joe Hart (gambar) menjangkakan Slovenia akan memberikan tekanan yang hebat ketika kedua-duanya bertemu pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 di Ljubljana, awal pagi Rabu.

Kemenangan ke atas Slovakia dan Malta meletakkan England selaku pendahulu Kumpulan F dengan Gareth Southgate meneruskan rentak cemerlang Three Lions selepas mengambil alih dari Sam Allardyce.

Begitupun, Hart enggan memandang mudah cabaran Slovenia yang muncul satu-satunya pasukan yang berjaya membocori gawang England dan memberi masalah kepada pasukan itu ketika kelayakan Euro 2016.

“Ia mungkin perlawanan paling sukar bagi kami di peringkat kumpulan, terutama di Wembley,” kata Hart mengulas kemenangan 3-1 England di laman lawan diikuti kemenangan 3-2 di Wembley kepada Slovenia pada kelayakan Euro 2016 lalu.

“Mereka mendahului dan kami memerlukan masa untuk bangkit. Ia adalah satu daripada perlawanan paling sukar di peringkat antarabangsa.”

Hart ketika ini sedang dipinjamkan kepada kelab Itali, Torino oleh Manchester City selepas gagal memikat pengurus baharu, Pep Guardiola.

Untuk pertemuan menentang Slovenia esok, England bakal membiasakan diri tanpa Wayne Rooney kerana beliau bukan lagi tersenarai dalam kesebelasan utama Southgate.

Pemain veteran itu telah diejek oleh penyokong sendiri ketika menentang Malta di Stadium Wembley walaupun England menang 2-0 di bawah kendalian Southgate buat kali pertama. – AFP