Jangan pandang ringan

Jangan pandang ringan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mei – Pengganasan adalah satu ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.

Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah berkata, rantau ini telah menyaksikan penyebaran pengaruh beberapa elemen radikal dan laluan maritim adalah salah satu tempat yang membentuk pengaruh itu sama ada bagi pengangkutan atau perolehan kewangan.

Menurut beliau, lebih banyak kerjasama yang meluas diperlukan untuk memastikan laluan maritim serantau selamat untuk semua.

“Tekanan yang kita hadapi hari ini lebih besar daripada sebelumnya kerana cabaran keselamatan terbukti lebih rumit dan sangat kerap merantas sempadan dengan agak cepat dan mudah.

“Dengan meningkatnya isu globalisasi dan kepesatan teknologi, semua pihak terus diuji dan keupayaan tercabar kerana terpaksa mengendalikan pelbagai gerakan ‘combat’ dan antara agensi dalam usaha menangani pelbagai ancaman keselamatan di tengah-tengah kegawatan ekonomi dan implikasinya terhadap keselamatan negara-negara ahli,” ujar beliau.

Pemerintah ABDB melancarkan Eksesais Sekuriti Maritim dan Pecegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus MS & CT) di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC), Muara kelmarin.
Pemerintah ABDB melancarkan Eksesais Sekuriti Maritim dan Pecegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus MS & CT) di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC), Muara kelmarin.

Justeru itu, kerjasama lebih luas adalah diperlukan, seperti gabungan kerja pakar-pakar bagi Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan, untuk menyumbang dalam memastikan laluan maritim kita adalah selamat untuk semua.

Yang Dimuliakan Pehin menekankan perkara ini ketika berucap melancarkan Eksesais Sekuriti Maritim dan Pencegahan Pengganasan Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADDM-Plus MS & CT) di Pusat Koordinasi Berbilang Negara (MNCC), di sini, hari ini.

Latihan melibatkan kira-kira 3,000 anggota tentera, 18 buah kapal, 17 buah helikopter, dua pesawat peronda maritim dan pasukan khas dari 18 buah negara dalam usaha memupuk kerjasama bagi memantapkan keselamatan maritim dan usaha mengatasi isu pengganasan.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin, begitu banyak yang boleh dipelajari dari antara satu sama lain dan menyelesaikan cabaran bersama-sama. Cara paling berkesan untuk melakukannya, adalah dengan menerusi perhubungan yang jelas dan terbuka.

“Dengan memastikan kita berhubung antara satu sama lain, kita akan mampu membina kepercayaan, membolehkan asas sama untuk bekerjasama, perkongsian berkesan dan mewujudkan ikatan kerjasama antara satu sama lain,” ujarnya.

Beliau turut percaya bahawa latihan ini akan memberikan platform telus dan perhubungan terbuka yang begitu diperlukan untuk mengurangkan sebarang rasa bimbang, meningkatkan kepercayaan dan membina kerjasama yang lebih dalam antara semua negara yang menyertai.

“Usaha murni ini akan menjadi model bagi yang lain untuk mengikut jejak usaha kita ke arah keamanan dan keselamatan yang berkekalan bagi manfaat seluruh manusia di dunia,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Eksesais Bersama, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat dalam ucapannya pula menjelaskan bahawa, eksesais tersebut memberikan peluang kepada negara-negara yang menyertai ADMM-Plus untuk saling bekerjasama bagi mencapai matlamat latihan.

Menurutnya, siri-siri latihan juga akan dijalankan di laut yang memerlukan Pasukan Petugas Khas Keselamatan Maritim (MSTF) menggunakan ADMM-Plus MS FTX SOP dan Kod Dokumen Pertembungan Tidak Dirancang di Laut (CUES). Fasa Menentang Pengganasan berikut pula akan dijalankan ketika Kumpulan Khas menghampiri Singapura.

MSTF terdiri daripada sejumlah 18 buah kapal perang, 16 buah helikopter, dua pesawat udara ronda maritim, elemen memerangi pengganasan dan kakitangan berpangkalan di pesisir dari negara-negara yang menyertai Latihan ADMM-Plus MS & CT 2016.

ARTIKEL YANG SAMA