Jangan panik spekulasi gempa bumi

Jangan panik spekulasi gempa bumi

KOTA KINABALU, 9 Mac (Bernama) – Penduduk Sabah khususnya di Lahad Datu dinasihat supaya tidak panik dan membuat spekulasi mengenai gempa bumi kuat yang didakwa bakal melanda daerah berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Ketua Pusat Kajian Bencana Alam (PKBA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Dr Kawi Bidin berkata penduduk sebaliknya perlu sentiasa berjaga-jaga serta mendapatkan maklumat tepat daripada agensi yang memantau kejadian gempa bumi di Sabah.

“PKBA bersama-sama agensi kerajaan lain bersedia membantu menyediakan khidmat bantuan kepakaran melalui pendidikan dan seminar kesedaran berkenaan bahaya bencana gempa bumi di Sabah sebagai langkah awal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas siri kejadian gempa bumi lemah yang berlaku di perairan Teluk Darvel berdekatan Lahad Datu, Sabah pada 16 Feb, 1 dan 4 Mac lepas.

Menurut Kawi ia merupakan kejadian semula jadi bagi aktiviti pelepasan tenaga dalaman bumi di perairan itu.

Kejadian berkenaan menjadi viral di media sosial dengan ramalan bahawa akan berlaku gempa lebih kuat di daerah berkenaan, malah mungkin setanding atau lebih kuat daripada gempa bumi di Gunung Kinabalu pada 5 Jun 2015.

Ramalan berkenaan, telah menimbulkan kerisauan penduduk Lahad Datu dan kawasan sekitar.

Kawi berkata daripada sudut kajian saintifik, rekod dan fakta gempa bumi, teknologi dan pakar sedia ada tidak boleh meramal secara tepat kejadian sesuatu gempa bumi daripada segi magnitud, lokasi dan waktunya.

“Perkara ini berlaku disebabkan pergerakan dalam bumi yang boleh mengakibatkan berlakunya gempa bumi. Ia merupakan suatu proses yang agak kompleks dan sukar difahami.

“Setakat ini, petunjuk awal kejadian sesuatu gempa bumi juga belum ditemui. Saintis hanya boleh membuat andaian kejadian sesuatu gempa bumi berdasarkan sejarah gempa bumi di kawasan itu,” katanya.