Jangan percaya spekulasi

Jangan percaya spekulasi

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai spekulasi yang semakin diperkatakan mengenai pesawat Rusia 7K9268 yang terhempas di Sinai, Mesir, baru-baru ini.

Duta Besar Rusia ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos turut menegaskan supaya orang ramai menunggu hasil dapatan penelitian dan siasatan terhadap kotak hitam yang baru ditemui.

Tuan Yang Terutama menekankan perkara ini ketika ditemui di Kedutaan Besar Rusia di Negara Brunei Darussalam, di Berakas hari ini, semasa menerima kunjungan ahli-ahli diplomatik yang datang untuk menandatangani Buku Takziah berikutan pesawat Metrojet yang disewa khas terhempas ketika dalam penerbangan menuju ke salah satu tempat peranginan yang menjadi pilihan kebanyakan warga Rusia pada musim percutian di Mesir.

Beliau seterusnya memberitahu, setakat ini tiada keluarga warga Rusia yang berada di negara ini terlibat dalam nahas itu, dan ditanya mengenai perkembangan terkini daripada kerajaan Rusia, Tuan Yang Terutama berkata semuanya masih dalam siasatan.

Duta Besar Perancis, Puan Yang Terutama Loan Forgeron menandatangani Buku Takziah itu sambil disaksikan oleh Duta Besar Rusia di negara ini.
Duta Besar Perancis, Puan Yang Terutama Loan Forgeron menandatangani Buku Takziah itu sambil disaksikan oleh Duta Besar Rusia di negara ini.

“Kini, kira-kira 100 orang pakar dari Kementerian Kecemasan Rusia berada di tempat kejadian bagi meneliti dan menyiasat kejadian yang mengorbankan 214 nyawa termasuk 25 orang kanak-kanak itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada semua ahli diplomatik dan orang-orang kenamaan di negara ini yang turut serta menandatangani Buku Takziah berkenaan dan menyifatkan respons itu sebagai perkongsian rasa simpati kepada keluarga mangsa yang kebanyakan berasal dari St. Petersburgh dan kawasan berhampirannya serta beberapa warga Ukraine.

“Saya sangat terharu dengan kedatangan mereka yang turut serta menandatangani Buku Takziah ini dan ini membuktikan keakraban dan semangat kekeluargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Rusia,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA