Jangan perlekehkan Ronaldo – Zidane

MADRID, 6 Dis – Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane memberi amaran kepada pengkritik Cristiano Ronaldo untuk tidak memperkecil-kecilkan pemain sensasi Portugal itu yang dijangka akan memperolehi Ballon d’Or kelimanya pada minggu ini.

Ronaldo hanya menjaringkan dua gol dalam 10 perlawanan La Liga musim ini selepas aksi tidak menyakinkan Madrid yang menyebabkan ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga Barcelona.

Bagaimana pun, Ronaldo mendahului dalam carta penjaring terbanyak dalam Liga Juara-Juara dengan lapan jaringan dalam lima perlawanan dan Zidane menjangkakan penampilan terbaik itu akan kembali dalam liga nanti.

“Dia sangat baik apabila perkara tidak menyebelahinya, lalu orang ramai mula bercakap tentang dia,” Zidane memberitahu semalam menjelang perlawanan menentang Borussia Dortmund.

“Dia akan sentiasa mencuba sehingga jaringan tiba. Tidak lama dulu, hanya tahun lepas, dia mempunyai musim yang luar biasa. Perjalanan masih jauh, kami masih berada dalam pertengahan musim. Jaga-jaga dengan Cristiano,” jelas Zidane.

Dengan Karim Benzema juga gagal untuk menjaringkan gol, kekurangan gol mencerminkan musim Real setakat ini. Sehingga September, anak buah Zidane telah menjaringkan 73 gol dalam setiap perlawanan.

Sementara itu, Zidane menyangkal segala berita yang tersebar, baru-baru ini dari jurulatih Valencia Marcelino Garcia Toral yang menyatakan Madrid mempunyai musim yang buruk selepas kehilangan Alvaro Morata, James Rodriguez dan Pepe.

“Ia benar, kami memerlukan jaringan yang banyak kerana berada lapan mata di belakang, bukan situasi yang baik.” tambah Zidane. “Tetapi saya tetap tenang kerana cepat atau lambat, ia akan berubah. Tidak menghiraukan apa orang luar kata, mereka tidak melihat saya pada masa ini,” jelas Zidane.

Madrid kekal di tangga kedua dalam Kumpulan H di belakang Tottenham Hotspur, Zidane dijangka akan mengubah format secara besar-besaran menjelang aksi perlawanan menentang Dortmund. – AFP