Jangan salah guna ICT

Jangan salah guna ICT

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Budaya salin dan tampal (copy & paste) boleh membawa kesan negatif menerusi penggunaan teknologi komunikasi masa kini jika ia disalah guna seperti menyebar fitnah atau maklumat-maklumat yang tidak benar.

Ketua Pegawai Istinbat, Jabatan Mufti Kerajaan, Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof berkata, budaya ‘copy & paste’ kini menjadi sesuatu yang selalu dibuat oleh pengguna telefon pintar, terutama kepada pengguna aplikasi ‘WhatsApp.’

“Sebilangan orang mudah lupa akan hakikat bahawa tidak semua berita, maklumat ataupun ilmu yang viral atau tersebar dalam media sosial itu sahih dan tepat.

Bahkan ada kalanya ia hanya khabar palsu semata-mata, atau maklumat yang salah ataupun berita yang tidak betul,” katanya.

“Adalah wajib bagi seorang Muslim untuk menjauhkan diri daripada menyebarkan berita-berita buruk apa lagi berita-berita yang memberi aib kepada orang lain. Jangan jadikan teknologi informasi semakin canggih tapi fitnah dan aib semakin menjadi dan tersebar. Dan haram hukumnya berbuat demikian,” kata Dr. Haji Mazanan dalam ceramahnya pada Majlis Forum Perdana 2016 yang bertemakan ‘Menjana Perhubungan Berkat dan Selamat Pemangkin Kesejahteraan Ummah,’ hari ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana di ICC.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana di ICC.

Berkenan berangkat ke Forum Perdana pada Majlis Ilmu di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.

Berangkat sama ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dan Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Perhubungan selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2016, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Mufti Kerajaan selaku Penasihat Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2016; Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Forum Perdana Majlis Ilmu 2016, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar.

Dato Paduka Haji Hamdan dalam sembah alu-aluannya berkata Forum Perdana pada Majlis Ilmu hari ini membincangkan tajuk Impak Perhubungan Terhadap Kesejahteraan Ummah yang mana panel forum memperincikan pengertian ‘Kesejahteraan Ummah’ dan seterusnya mengupas mengenai dua dimensi utama yang berkaitan dengan tajuk perhubungan, iaitu perkembangan teknologi info komunikasi (ICT) dan pengangkutan.

“Tajuk ini dibincangkan daripada perspektif Islam, dan juga dari sudut peluang, manfaat serta cabaran yang dihadapi dari aspek impak perhubungan terhadap kesejahteraan dan keselamatan ummah, terutama dalam keadaan dunia tanpa sempadan pada hari ini,” jelas Dato Paduka Haji Hamdan.

Antara para jemputan khas yang hadir ke majlis itu.
Antara para jemputan khas yang hadir ke majlis itu.

Sementara itu, ahli panel dari Kulliyyah Teknologi Komunikasi dan Maklumat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Mohamad Fauzan bin Haji Noordin dalam ceramahnya pula berkata, hampir semua orang di dunia pada ketika ini mempunyai telefon pintar dan jika umat Islam bijak menggunakannya, ia boleh mendekatkan lagi diri kita kepada Allah S.W.T.

Beliau memberikan contoh seperti dengan menggunakannya sebagai jam loceng (alarm clock) untuk membangunkan kita untuk solat Tahajud.

“Kita memandu kereta yang mempunyai sistem pintar, menggunakan ‘smart stop,’ teknologi ICT untuk menjimatkan minyak. Kita menggunakan ‘Waze’ untuk panduan arah menuju ke sesuatu destinasi dengan tepat, pantas dan tuntas kerana ‘Waze’ sudah tahu jalan yang tidak sesak menggunakan teknologi realiti saduran dalam ICT.

“ICT ini berada di mana saja, setiap masa dan pada semua golongan manusia. Jadi perkembangannya begitu pantas dan cepat. Ledakan ICT masih amat terasa setiap peringkat kehidupan manusia, baik di Brunei, Malaysia, Nusantara, malah seantero dunia,” ujarnya.

Manakala Penolong Kanan Prof. Adjung Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Hajah Mona Yati binti Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Kassim pula menekankan bahawa sistem pengangkutan yang berkesan adalah sistem yang memberi keamanan, kedamaian dan selamat untuk masyarakat menggunakannya.

“Sektor udara, laut dan darat berkat aman, sentosa, damai dan selamat serta tenteram akan dapat dicapai jika sistem pengangkutan itu adalah lebih-lebih efektif, lebih efisien dan ada kesalinghubungan (connectivity), diyakini (reliability) ditambah lagi ada capaian (accessability), mampu dimiliki (affordability) dan yang penting sekali keselamatan (safety).

‘Connectivity’ dan ‘reliability’ adalah penting sebab kita mesti bergerak dari destinasi ‘A’ hingga ke destinasi ‘B’ dengan menggunakan apa jenis mod pengangkutan dengan yakin dan dalam waktu yang dijanjikan. Sistem pengangkutan itu mesti dipercayai oleh orang ramai. Kalau tidak ‘reliable’, tidak kitani gunakan,” jelasnya lagi.

Dr. Hajah Mona Yati memberikan contoh iaitu dalam sektor perdagangan, di mana business connectivity adalah penting,ia boleh memperkembangkan lagi peluang kemasukan pemasaran (market entry). Ia boleh juga menaikkan eksport ke luar negara seperti industri logistik Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA