Jangan salahkan saya – Blatter

Jangan salahkan saya – Blatter

ZURICH, 12 Julai (AFP) – Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) Sepp Blatter berkata, dia boleh menerima kritikan yang dilemparkan terhadap organisasinya yang dikaitkan dengan masalah rasuah namun mengakui tidak bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dalam badan eksekutif FIFA.

FIFA berada dalam keadaan tenat apabila 14 syarikat eksekutif pemasaran yang berkaitan sukan dan bola sepak disoal siasat oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat atas dakwaan rasuah dan penggubahan wang secara haram.

Antara mereka yang sedang disoal siasat ialah Naib Presiden FIFA, Jeffrey Webb dari Kepulauan Cayman dan Eugenio Figueredo, yang kini sedang digantung tugas dan bekas Naib Presiden FIFA, Jack Warner dari Trinidad dan Tobago.

Turut termasuk dalam senarai ialah Ahli Jawatankuasa FIFA, Edoardo Li dari Costa Rica, Ahli Jawatankuasa Pembangunan FIFA, Julio Rocha dari Nicaragua dan bekas ahli jawatankuasa, Nicolas Leoz dari Paraguay.

“Perkara yang menjadi bualan di FIFA semenjak kebelakangan ini banyak menjurus kepada saya secara peribadi dan saya tiada masalah dalam hal ini kerana mampu mempertahankan diri.

Blatter menjadi sasaran kritikan selepas FIFA dicemari skandal rasuah. - Reuters
Blatter menjadi sasaran kritikan selepas FIFA dicemari skandal rasuah. – Reuters

“Bagaimanapun untuk bersikap adil, saya tidak bertanggungjawab terhadap segala tindakan ahli jawatankuasa lain (Jawatankuasa Eksekutif FIFA) yang bukan dipilih oleh saya.

“Presiden FIFA perlu memilih mereka yang dirasakan layak dan saya tidak bertanggungjawab terhadap sikap exco yang bekerja di pejabat konfederasi masing-masing,” katanya.

Blatter berkata, fokusnya kini adalah pemilihan presiden untuk menggantikan tempatnya yang diharap mampu membantu proses pemulihan FIFA.

“Menggantikan presiden hanyalah salah satu aspek untuk proses transformasi kerana semua perkara saling berkaitan dan diharapkan dalam kongres nanti, mereke tidak terlalu tertumpu kepada agenda ini semata-mata.