Jangan sekadar baca skrip

SELURUH warga Brunei akan menghadapi satu era pembaharuan mengenai bagaimana Majlis Mesyuarat Negara (MMN) musim ke-14 ini akan dilaksanakan dengan terlantiknya ahli-ahli Yang Berhormat yang lebih muda dan berpandangan jauh serta dinamik dalam merangka strategi pembangunan negara ke Wawasan Brunei 2035.

Namun begitu, walaupun musim permesyuaratan MMN ini hanya akan bermula dalam enam minggu dari sekarang, masih terdapat kesangsian dan keraguan terhadap setakat mana bidang kuasa mereka ini apabila berada di dewan majlis nanti.

Harap-haraplah ada perubahan akan berlaku daripada hanya membaca skrip respons yang telah disediakan lebih awal kepada perbincangan dan lebih baik lagi perbahasan serta perdebatan mengenai metode atau kaedah paling baik bagi masyarakat di luar sana sama ada dalam perkhidmatan awam mahupun perkhidmatan swasta, apatah lagi usahawan watan dalam memastikan hasrat dan aspirasi negara tidak lagi tertangguh, malah terus menyusuri anjakan paradigma yang ditunggu-tunggu.

Satu lagi yang kadang-kadang terlepas pandang kepada kita semua adalah betapa Kampong Ayer yang memegang tampuk dan riwayat sejarah ibu negara kita langsung tidak ada wakil dalam susunan ahli MMN sejak ia dihidupkan semula pada tahun 2004. Hairan bin ajaib.

Harapan saya dan yang berkenaan adalah semoga isu ini akan difikirkan dan diselesaikan seberapa segera supaya hak mutlak serta masalah dan isu yang melanda penduduk Kampong Ayer tidak akan terpidana, malah akan diingau dan dipeduli sesegeranya. Renungkanlah – UGAN BRUNEI, BANDAR SERI BEGAWAN