Jangan sensasi isu sensitif – Jainab

Jangan sensasi isu sensitif – Jainab

pg12_160104_bKOTA KINABALU, 3 Jan (Bernama) – Editor akhbar tempatan diminta agar tidak mensensasikan sebarang isu yang boleh mengganggu-gugat perpaduan kaum di negara ini, khususnya di Sabah.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid (kiri) berkata sikap hormat-menghormati perlu diterapkan dan diperkukuh dalam menghasilkan penulisan berita memandangkan Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, bangsa dan agama.

“Saya minta editor termasuk wartawan mempraktikkan etika (kewartawanan) dan janganlah mensensasikan isu yang boleh menyentuh perasaan kerana negara kita terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program Integ-Generasi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) peringkat negeri dan Sambutan Tahun Baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jainab menyokong pendapat Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mengenai tajuk berita sepatutnya berpaksi kepada inti pati sesebuah berita, kerana ia merupakan prinsip etika kewartawanan.

Sebelum ini, Salleh dalam catatan blognya sskeruak.blogspot.com mendapati ketika ini ada tajuk berita yang mengelirukan, tidak sepenuhnya menggambarkan kandungan berita yang ditulis malah kadangkala lari daripada isinya, laporan atau berita disensasikan, penulisan dibuat di luar konteks.

Mengenai PAWE, Jainab berkata kewujudan pusat itu akan dapat membantu warga emas memenuhi masa lapang mereka dengan aktiviti berfaedah seperti menghadiri kelas pembelajaran al-Quran.