Jangan sewakan unit PPR – Abdul Rahman

Jangan sewakan unit PPR – Abdul Rahman

KOTA KINABALU, 6 Mac (Bernama) – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan memberi tumpuan kepada penguatkuasaan peraturan dan memantau unit-unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) tahun ini. Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata Kabinet dimaklumkan pada 13 Jan bahawa sesetengah penghuni PPR di negara ini menyewakan unit mereka kepada pihak ketiga termasuk rakyat asing.

“Sesetengah penyewa yang menyewa sebanyak RM124 sebulan menyewakan semula unit-unit itu dengan kadar RM300 hingga RM400 sebulan dengan menafikan peluang bagi keluarga miskin untuk menyewa atau memiliki rumah.

“Untuk tujuan ini, kementerian buat kali pertama melancarkan operasi “Ops Sejahtera Komuniti” di kawasan PPR di Sabah hari ini, dan akan memberi tumpuan kepada isu penyewa menyewakan semula unit kepada pihak ketiga, kelewatan membayar sewa dan menyalahguna premis,” katanya kepada pemberita di Dewan Lok Kawi di sini hari ini.

Sebanyak 118 daripada 500 unit di kawasan perumahan itu diperiksa dalam operasi itu hasil usahasama antara kementerian dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah dengan kerjasama majlis daerah (Papar, Putatan, Tuaran and Penampang), polis, jabatan bomba dan penyelamat, imigresen, jabatan pendaftaran negara dan RELA.

Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) bertanya khabar dengan penduduk tempatan semasa Program Operasi Sejehtera Komuniti di Taman Sabindo, dekat Kota Kinabalu. – Bernama
Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) bertanya khabar dengan penduduk tempatan semasa Program Operasi Sejehtera Komuniti di Taman Sabindo, dekat Kota Kinabalu. – Bernama

Abdul Rahman berkata, surat peringatan akan dihantar kepada penghuni yang gagal membayar sewa, dan mereka yang menyewakan semula unit mereka kepada pihak ketiga akan diberi amaran dan notis pengosongan premis.Beliau menggesa majlis daerah dan pihak berkuasa tempatan memastikan rumah PPR hanya dijual atau disewakan kepada rakyat Malaysia yang layak.

Abdul Rahman berkata operasi itu akan diperluaskan ke wilayah lain di negara ini terutama Lembah Klang, Sarawak, Johor dan kawasan lain di Sabah disebabkan insiden tertinggi penyewa menyewakan unit-unit seumpama itu kepada pihak ketiga.

Pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Mohammad Mentek menyerahkan dokumen bagi dua projek PPR (1,000 unit) di Sandakan dan Tawau (400 unit) kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Matius Sator.