Jangan sia-siakan sembahyang

Jangan sia-siakan sembahyang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Sesungguhnya ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah Subhanahu Wata’ala kerana Baginda Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam sendiri menerimanya secara langsung daripada Allah S.W.T. di ‘Sidratul Muntaha’ dalam peristiwa Israk Mikraj.

Perintah ibadah sembahyang ini adalah berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril Alaihi Salam.

Ini menunjukkan bahawa ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah S.W.T, tekan Khatib semasa khutbah Jumaat mengenai peristiwa Israk Mikraj.

“Oleh itu, ibadah sembahyang tidak boleh diremeh-temehkan seperti juga tidak boleh menurut hawa nafsu melakukan maksiat kerana meremehkan sembahyang itu adalah dicela oleh Allah S.W.T, mereka itu adalah golongan yang sesat.”

Khatib berkata, menurut Abdullah bin Abbas Radiallahuanhu, mensia-siakan sembahyang bukanlah bermaksud meninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi melewatkan dari waktunya, umpamanya mereka melaksanakan sembahyang Zohor dalam waktu Asar, sembahyang Asar dalam waktu Maghrib, sembahyang Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta sembahyang Subuh dilaksanakan selepas matahari terbit.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama Al-Ghai’a di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Jika mengerjakan sembahyang fardu di luar waktu sudah sebegini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersembahyang fardu sama sekali.

Justeru itu, tekan Khatib lagi, melaksanakan sembahyang fardu dalam waktu yang ditetapkan merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan.

Khatib seterusnya berkata, dalam peristiwa Israk dan Mikraj juga, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam telah melihat segolong manusia yang masing-masing menghadapi dua bekas, bekas yang satu berisi daging yang sudah masak dan yang satu lagi berisi daging yang mentah.

Tetapi yang anehnya, mereka memilih untuk makan daging yang mentah, lalu Baginda pun bertanya kepada Jibril Alaihi Salam: “Siapa mereka itu?” Jibril menjawab “Mereka adalah gambaran antara umat mu yang suka berzina, mereka sebenarnya masih suka melepaskan nafsu syahwatnya dengan perempuan lain walaupun mereka telah beristeri. Begitulah pula halnya dengan perempuan yang telah bersuami secara sah, akan tetapi mereka juga melakukan zina dengan lelaki lain yang bukan suaminya sesungguhnya Allah S.W.T. telah mengingatkan hamba-hambaNya untuk tidak mendekati zina”.

Zina merupakan perbuatan keji dan hina yang merosakkan diri, akhlak, keturunan dan masyarakat. Antara keburukan zina adalah keruntuhan moral dan akhlak, mengandungkan anak luar nikah, yang akibatnya seseorang itu boleh bertindak di luar batasan dan di luar naluri seseorang manusia seperti berusaha untuk menggugurkan anak dalam kandungan dan lebih dahsyat lagi sanggup membuang anak yang baru dilahirkan.

Perbuatan itu, ujar Khatib, dilakukan kerana malu dan juga kerana hendak menyembunyikan perbuatan keji yang telah dilakukan. Begitu juga keruntuhan akhlak yang berhubung kait dengan perbuatan zina ialah kejadian sumbang mahram.

Pada akhir khutbahnya, Khatib menyarankan, sebagai orang Islam, kita hendaklah mematuhi ajaran dan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh agama Islam, bukan mengingkarinya dan hanya menurut kehendak hawa nafsu tanpa memikirkan akibat perbuatan yang dilakukan.

“Akhirnya, marilah kita sama-sama menghayati dan mengambil iktibar dari peristiwa Israk dan Mikraj sebagai pengajaran yang dapat menguatkan dan meningkatkan iman dan takwa kepada Allah S.W.T”.

ARTIKEL YANG SAMA