Jangan terjebak rezeki tidak halal

Jangan terjebak rezeki tidak halal

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Islam sangat menggalakkan umatnya untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri sama ada melalui bidang pertanian dan perniagaan yang mengikuti lunas-lunas yang ditentukan syarak.

Walau bagaimanapun, sudah lumrah manusia ada kalanya ingin cepat mendapatkan keuntungan atau kaya sehinggakan terjebak dalam penipuan kewangan atau dikenali sebagai skim cepat kaya melalui perbuatan individu atau kumpulan tertentu yang melakukan penipuan kewangan tersebut.

Perkara itu ditekankan khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini, menegaskan bahawa pelaburan atau perniagaan seumpama ini adalah salah dari segi undang-undang dan hukum syarak yang lahir daripada kelalaian atau sifat tamak individu-individu tertentu yang inginkan keuntungan dengan mudah dan cepat tanpa melihat kehalalan pendapatan yang diperolehi.

Menurut khatib lagi, bagi mengelakkan perkara ini terus berlaku, penting bagi umat Islam mengenalpasti pelaburan itu berdaftar dan diperakui oleh pihak berkuasa berdasarkan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam agar pendapatan yang diperolehi halal dan mendapat berkat daripada Allah S.W.T.

“Mereka yang melakukan penipuan kewangan melalui skim yang tidak sah dari segi undang-undang itu begitu licik dan akan sentiasa mencari jalan mudah untuk meyakinkan perniagaan tersebut benar-benar menguntungkan seperti menggunakan daya tarik media internet, Facebook dan WhatsApp dan menjanjikan pelbagai keuntungan, kekayaan, pendapatan besar dan kenikmatan yang bakal dimiliki oleh mereka yang mengikuti perniagaan tersebut.”

Khatib menjelaskan bahawa terdapat dalam kalangan masyarakat Islam masih terpengaruh dengan skim-skim penipuan kewangan ini, tanpa memikirkan hasil pendapatan yang diperolehi itu adalah halal atau sebaliknya.

Ini adalah amat membimbangkan jika hasil pendapatan tersebut dibelanjakan untuk memberi nafkah isteri, anak-anak dan keluarga seperti makan minum, pakaian dan tempat tinggal.

“Sesungguhnya makanan yang tidak halal dan syubhah sangat bahaya kerana akan menjauhkan seseorang daripada berbuat kebajikan, menggelapkan dan mengeraskan hati serta memberatkan hati untuk melakukan kebajikan, menjadikannya lupa akan akhirat dan mencintai dunia sahaja.”

Skim pelaburan kewangan seperti ini tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat jual beli dalam Islam antaranya akad jual beli yang tidak jelas; barang perniagaan yang dikurangkan kesihatannya dari segi undang-undang dan hukum syarak dan mendatangkan syubhah yang membawa kepada hukum haram dan jahalah iaitu tidak diketahui atau kekurangan maklumat dan garar iaitu ketidakpastian.

Khatib menyeru agar umat Islam berwaspada dalam apa jua bentuk tawaran skim pelaburan meragukan yang menjanjikan pulangan keuntungan yang lumayan dan berlaku dalam jangka waktu yang singkat.

“Bahkan kita tidak pasti apakah tujuan pelaburan tersebut sebenarnya dan kita hendaklah berusaha sedaya upaya untuk tidak bersubahat atau terlibat dengan kegiatan pelaburan yang menyalahi undang-undang seperti perjudian, pelacuran, rasuah dan seumpamanya.”

Oleh itu mana-mana skim yang ditawarkan kepada orang ramai di negara ini hendaklah dirujuk kepada pihak Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD).

“Apa yang penting adalah kita diwajibkan untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal agar kita mendapat berkat dan kebaikan hidup di dunia dan di akhirat serta mendapat keredaan Allah S.W.T.”

ARTIKEL YANG SAMA