Jangan terlalu banyak guna kata pinjaman – Dr Rais Yatim

Jangan terlalu banyak guna kata pinjaman – Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR, 17 Nov – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disaran agar mengurangkan penggunaan ‘kata pinjaman’ bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu. Penasihat Sosial Budaya Perdana Menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata seharusnya perlu ada penapisan sebelum sesuatu istilah diterima pakai sebagai perkataan yang digunakan secara am.

Beliau berkata hasil penelitian dan penyelidikannya, terdapat banyak istilah bahasa Inggeris yang diterjemah ke bahasa Melayu dalam kamus melalui proses pinjaman.

“Saya menyeru agar tolong buat penyelidikan yang lebih mendalam agar kita terselamat daripada dilihat sebagai bahasa tersandar kepada sistem meniru dalam istilah yang kebanyakannya terdapat dalam bahasa kita sendiri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan 15 buku Akal Budi Seni yang diterbitkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini hari ini.

Rais berkata sekiranya perkara itu terus dibiarkan, beliau bimbang istilah tradisional Melayu akan lenyap ditelan zaman.

Beliau berkata beliau telah menulis surat kepada DBP mengenai perkara itu dan berharap mereka dapat membendungnya daripada terus berlarutan.

Beliau juga berharap para pemimpin mengambil berat tentang bahasa Melayu dan menggunakannya sebaik mungkin. – Bernama