Jangan terlalu bergantung pada kerajaan

Jangan terlalu bergantung pada kerajaan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Usul menjunjung kasih yang disampaikan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada hari pertama sesi Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12, hari ini, menerima sokongan daripada kalangan ahli-ahli Yang Berhormat.

Yang Berhormat Pehin Datu Iman Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Hamid bin Bakal dalam menyampaikan hujah menyokong usulnya berkata, beliau menyokong saranan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan merasmikan Musim Permesyuaratan ke-12, baru-baru ini, yang menyarankan rakyat dan penduduk negara ini supaya tidak terlalu mengharapkan pekerjaan di sektor kerajaan.

“Titah Baginda Sultan antara lain telah menekankan tentang perlunya rakyat dan penduduk di negara ini menceburkan diri dan menggandakan usaha dalam bidang perniagaan, perdagangan dan perusahaan bagi mengurangkan pergantungan kepada sumber minyak dan gas, dan menjadikan mereka berdikari dan berusaha sendiri tanpa banyak bergantung pada kerja dengan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, rangsangan Baginda Sultan itu adalah selari dengan rangsangan Al-Quran yang mengandungi dorongan kepada kegiatan perniagaan dan urus niaga kerana dalam Islam tiada garis pemisah antara spiritual dan material kerana apa sahaja yang dilakukan sebagai patuh kepada perintah Allah S.W.T adalah amalan yang menjadi ibadat.

Sementara itu, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Kerna Dato Paduka Seri Haji Yaakub bin Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Paduka Haji Zainal dalam hujah menyokong usul menjunjung kasih berkata, beliau tersentuh mengenai penutup titah Baginda Sultan yang menyeru ahli-ahli Yang Berhormat supaya dapat menguruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang tinggal di kawasan bandar atau pun di kawasan luar bandar.

pg10_160308_c

pg08_160309_MMN-_Logo

Ujarnya, titah Baginda Sultan itu jelas menunjukkan Baginda sentiasa memikirkan kebahagiaan dan keselamatan rakyat jelata dalam apa juga keadaan pun kerana mereka sentiasa dalam pemerhatian Baginda Sultan.

“Lebih-lebih lagi dalam negara kita yang dilanda kegawatan ekonomi Baginda Sultan sering turun padang meninjau pentadbiran kerajaan agar lebih mantap dan efisien serta kemas kini,” katanya.

Beliau juga mengutarakan kemudahan-kemudahan yang telah disediakan oleh kerajaan kepada rakyat dan penduduk sambil membincangkan beberapa isu termasuk isu sampah sarap dan isu penjagaan kesihatan dalam kehidupan.

Menurutnya, sudah sampai masa untuk kita menanamkan dalam jiwa anak-anak mengenai amalan kebersihan yang seharusnya bermula di rumah.

Ibu bapa, para guru dan masyarakat seharusnya memainkan peranan yang penting dalam menyemai perasaan antisampah dan kekotoran, tidak camah mata apabila melihat sampah dan kekotoran.

Sebelum mengakhiri hujah menyokong usulnya, beliau turut menyampaikan hajat para peniaga Tamu Kianggeh akan hasrat mereka menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas perkenan Baginda Sultan bercemar duli melawat ke tapak Tamu Kianggeh pada 7 Februari 2016 lalu.

ARTIKEL YANG SAMA