Jangan terlalu berharap kepada sektor kerajaan

Jangan terlalu berharap kepada sektor kerajaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Generasi masa kini khususnya para pelajar diseru agar tidak hanya berharap untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan tetapi juga digalakkan untuk berusaha mencari peluang dalam sektor yang lain kerana persaingan bagi mendapatkan kedudukan pekerjaan yang baik semakin meningkat.

Perkara ini telah ditekankan oleh Pemangku Penolong Pengarah di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Mazlan bin Haji Abang, selaku tetamu kehormat majlis semasa berucap pada Majlis Anugerah Penuntut Cemerlang Akademik 2015 Pusat Tingkatan Enam Sengkurong di dewan sekolah berkenaan.

Sehubungan dengan itu, negara amat memerlukan generasi yang bukan sahaja mempunyai latarbelakang akademik yang cemerlang tetapi juga mempunyai daya pemikiran yang terbuka, jauh serta dapat menyumbang terus kepada peningkatan pendapatan hasil negara di samping membantu menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara amnya selaras dengan matlamat Wawasan 2035.

“Perlulah diingati bahawa pendidikan pada peringkat pengajian tinggi atau institusi setaraf yang lain berfungsi sebagai satu landasan atau arena menimba ilmu yang dapat diguna pakai untuk meneroka peluang-peluang kerjaya pada masa hadapan,” kata Awang Mazlan.

“Ambillah kesempatan ini sebaik yang boleh untuk melengkapkan diri dalam mengharungi arus kehidupan seterusnya. Ini sangat berkaitan dengan kenyataan yang kita memang sudah sedia maklum pada masa ini.

Awang Mazlan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan 2015 kepada wakil Awang Muhd Aiman Syaqif.
Awang Mazlan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan 2015 kepada wakil Awang Muhd Aiman Syaqif.

“Proses globalisasi, kitaran semula jadi, bencana alam telah menyebabkan kebanyakan negara mengalami banyak perubahan. Brunei Darussalam juga tidak terkecuali,” tambah beliau.

Beliau menyeru agar pencapaian cemerlang dapat didampingi dengan daya pemikiran kreatif dan inovasi yang tinggi serta dapat dipraktikkan dalam keadaan yang sebenar supaya dapat membantu masyarakat untuk terus bertahan dan berdaya saing pada setiap masa dan keadaan.

Beliau berharap agar para pelajar lebih bersedia dengan azam yang kuat untuk menyiapkan dan melengkapkan diri untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Manakala Pengetua Pusat Tingkatan Enam (PTE) Sengkurong, Haji Ismail bin Haji Zainal dalam ucapannya menjelaskan bahawa pencapaian pusat dalam Peperiksaan BC-GCE ‘A’ Level bagi tahun 2015 telah meningkat berbanding 2014.

Bagi peratusan pencapaian 1 ‘A’ level ke atas ialah 96.84 peratus berbanding dengan 93.9 peratus pada tahun 2014 manakala pencapaian 2 ‘A’ Level ke atas ialah 88.32 peratus iaitu meningkat sebanyak 6.63 peratus berbanding tahun 2014. Bagi pencapaian 3 ‘A’ level ke atas pula sebanyak 66.18 peratus berbanding pencapaian 57.4 peratus pada tahun 2014.

Menurut beliau lagi, kedudukan PTE Sengkurong dibandingkan dengan lima buah pusat yang lain juga membanggakan di mana dalam pencapaian 1 dan 2 ‘A’ level ke atas ialah di tempat yang kedua di belakang Maktab Sains. Manakala bagi pencapaian 3 ‘A’ Level ke atas, PTE Sengkurong berada di tempat ketiga.

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang pagi tadi telah dibahagikan kepada lima kategori iaitu 14 orang pelajar menerima kategori Anugearah Pelajar Cemerlang dalan Peperiksaan BC-GCE ‘A’ Level tahun 2015, sembilan orang pelajar menerima kategori Anugerah Pelajar Cemerlang bagi peperiksaan hujung tahun, 119 pelajar menerima kategori Anugerah Pelajar Cemerlang dalam matapelajaran bagi Peperiksaan BC GCE ‘A’ Level, 22 pelajar menerima kategori Anugerah Pelajar Cemerlang Mata pelajaran bagi penuntut tingkatan enam bawah dan sembilan orang menerima kategori Anugerah Pelajar Beriltizam.

Majlis itu juga turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan 2015 kepada Awang Muhd Aiman Syaqif bin Haji Ramlee dan penyampaian Anugerah Pelajar Contoh 2015 kepada Dayang Fathima Zahra Nashath.

ARTIKEL YANG SAMA