Jangan terlalu memilih

Jangan terlalu memilih

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Mei – Pusat Membeli-Belah KBSentral dengan kerjasama Agensi Pekerjaan Tempatan dan Pembangunan Tenaga Kerja (APTK) kini sedang menganjurkan pameran kerjaya bagi membukakan peluang kepada para pencari kerja mengenai tawaran kerja.

Pameran Kerjaya KBSentral itu akan berlangsung selama empat hari dan pelancarannya hari ini telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Belait, Haji Pungut bin Haji Ali selaku tetamu kehormat majlis.

Semasa ditemui media, Haji Pungut berkata, acara seperti ini merupakan pelantar untuk memudahkan mereka yang pada masa ini mencari ruang pekerjaan, terutamanya kepada penduduk yang berada di persekitaran di daerah ini khususnya dan di negara ini pada amnya.

“Saya berharap, kepada mereka yang sedang mencari pekerjaan, supaya jangan terlalu memilih, hendaklah mengambil kesempatan jika diberikan peluang pekerjaan, dan berusaha lagi untuk mencari pekerjaan lain umpamanya yang bersesuaian dengan pendidikan atau kemahiran jika terdapat peluang yang lain di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Acara dan Pemasaran, Awang Ahmad Anwar bin Haji Rosly memberitahu, pameran tersebut disertai oleh sebanyak lapan buah syarikat yang beroperasi di Kuala Belait, dan selebihnya dari Daerah Brunei dan Muara.

Haji Pungut semasa meninjau syarikat-syarikat yang menyertai Pameran Kerjaya KBSentral selepas menyempurnakan pelancarannya.
Haji Pungut semasa meninjau syarikat-syarikat yang menyertai Pameran Kerjaya KBSentral selepas menyempurnakan pelancarannya.

Terdapat beberapa kekosongan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkenaan termasuk 50 kekosongan di Syarikat G4S, SugarBun serta KBSentral Properties Management & Garden Sentral Hotel yang turut mengambil bahagian dalam pameran kerjaya tersebut.

Pameran kerjaya kali kedua anjuran KBSentral tahun ini melibatkan penyertaan daripada syarikat-syarikat antaranya G4S, SugarBun, AIA Insurance, Rentokil, RopeTech Antarabangsa Brunei, 4Life dan APTK, manakala itu Bank Baiduri akan menyertai pameran pada Sabtu ini sahaja.

Antara aktiviti sampingan yang turut dirancang adalah Ceramah Motivasi pada 14 Mei yang dijangka akan disampaikan oleh Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dari Kementerian Pendidikan serta ceramah dari Jabatan Tenaga Kerja.

Sehubungan itu, para pencari kerja yang berhasrat berkunjung ke pameran berkenaan dinasihatkan supaya membawa bersama salinan kad pengenalan, resume atau CV dan dokumen-dokumen lain yang berkaitan.

Pameran yang berlangsung selama empat hari bermula hari ini dibukakan untuk kunjungan dari pukul 10 pagi hingga 8:30 malam bertempat di kawasan atrium bangunan pusat beli-belah tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA