Jangan terlalu yakin, nasihat Blanc

Jangan terlalu yakin, nasihat Blanc

PARIS, 6 April – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Laurent Blanc memberi amaran kepada pasukannya untuk tidak terlalu yakin menjelang perlawanan pertama pusingan suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok menentang Manchester City di Parc des Princes.

Juara Perancis yang baru dimahkotakan itu kini memburu tempat ke separuh akhir kejohanan buat kali pertama sejak 1995 tetapi ini adalah musim keempat pasukan itu berada dalam pusingan suku akhir sementara City tidak pernah sampai ke pusingan ini.

Situasi itu menyebabkan ramai pemerhati yang merasakan PSG, berhak memenangi perlawanan selepas menewaskan Chelsea dalam pusingan 16 terakhir, pasukan pilihan untuk menewaskan pasukan Manuel Pellegrini selepas mereka menarik nafas lega apabila tidak diundi menentang Barcelona, yang juga adalah musuh tetap dalam kejohanan Eropah.

“Kesemua maklumat terperinci adalah penting bagi pertemuan seperti ini dan pengalaman yangkami kumpul dalam beberapa tahun kebelakangan ini bakal memainkan peranan,” kata Blanc.

“Apa yang saya saksikan adalah apabila undian dilakukan, semua orang termasuk kami berpuas hati dapat mengelakkan daripada bertemu dia pasukan gergasi bola sepak Eropah pada masa ini iaitu Bayern Munich dan Barcelona. – AFP