Jangan terpengaruh dengan viral banjir

Jangan terpengaruh dengan viral banjir

KEMAMAN, 29 Dis – Polis Terengganu meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan gambar serta maklumat yang diviralkan berhubung kejadian banjir yang mula melanda negeri ini.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rosli Ab Rahman berkata orang ramai boleh berhubung dengan pusat gerakan bencana atau merujuk laman rasmi yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengetahui situasi sebenar.

Katanya setakat ini keadaan banjir yang berlaku di beberapa daerah seperti Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman masih terkawal ‘Kita harap orang ramai tidak mudah percaya dengan gambar mahupun maklumat yang tersebar luas di Whatsapp, Facebook dan sebagainya. Seharusnya mereka perlu mendapatkan kesahihan tersebut dari pihak berkuasa.

“Ada setengah gambar yang diviralkan itu gambar lama dan ada juga melibatkan negeri lain yang mereka timbulkan,” katanya kepada Bernama.

Rosli meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita dan gambar agar menghentikan tindakan sedemikian kerana boleh mengundang kekeliruan dan panik kepada orang ramai.

Tambah beliau, pihaknya juga akan mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar dan sebagainya. – Bernama

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman.